Berita Utama

Cara Zionis usir rakyat Palestin bentuk ‘settler colonism’ jelas

Tanah Melayu alami ‘settler colonism’ sejak kedatangan British

BANGI, 27 Ramadan 1442H, Ahad – Pengusiran rakyat Palestin yang memiliki hak pendudukan sah oleh pendatang haram Zionis di Sheikh Jarrah, Baitulmqdis adalah salah satu bentuk ‘settler colonism’ yang jelas.

Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute (IRIS), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, ‘settler colonism’ bermaksud penjajahan dan penghapusan bangsa asal melalui kaedah pendudukan, pembinaan penempatan, pengambilalihan tanah, pembandaran, pengusiran warga asal serta pembunuhan genosid.

“Ini adalah kaedah penjajahan Zionis yang paling aktif dilakukan dan konsisten sejak sebelum 1948 lagi.

“Demografi penduduk Palestin merosot secara drastik sehingga kini. Ramai telah menjadi pelarian dan tidak pernah dapat menjejak semula tanah air mereka.

“Satu masa dahulu antara arkitek penting di sebalik kaedah ini di Palestin (di bawah penjajahan British-Zionis) ialah Sir Henry Gurney dan Sir Gerald Templer. Mereka kemudiannya ditugaskan juga di Tanah Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Ahmad Israa’ mendakwa, Tanah Melayu sebenarnya telah mengalami ‘settler colonism’ sejak kedatangan British ke negara ini.

Beliau berkata, bandar-bandar utama di Tanah Melayu yang asalnya dibuka, diusahakan dan dimajukan oleh pemimpin atau pembesar Melayu telah disusun secara terancang secara halus serta kasar.

Katanya, bandar-bandar berkenaan diubah dari segi demografi dan kependudukan supaya digantikan oleh bangsa asing.

Beliau memberi contoh paling jelas iaitu Kuala Lumpur yang juga sebuah bandar perlombongan telah lama dibuka oleh Sutan Puasa dan orang Melayu Mandailing.

Jelasnya, perkara itu dilakukan sebelum kedatangan kumpulan kongsi gelap Cina yang telah diberi laluan dan kemudahan oleh British bagi mengambil alih bandar yang dibina oleh orang Melayu.

“Tindakan Zionis yang kita semua sedang saksikan sekarang turut wujud di Tanah Melayu dahulu dan berterusan sehingga ke hari ini.

“Apa yang saya tulis ini bukannya omongan kosong atau retorik semata-mata. Ia adalah fakta sejarah yang boleh dibongkar semula, walaupun banyak pihak sedang berusaha untuk memadamkan dan menyembunyikannya.

“Kami di Interdisciplinary Research and International Strategy – IRIS Institute mengambil tanggungjawab melakukan kajian tersebut. Ianya akan kami terbitkan tidak lama lagi dengan izin Allah jua,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button