Berita Utama

Ingkar SOP: 47 termasuk pemilik pusat hiburan dikompaun RM280,000

Pengunjung dikompaun RM5,000 manakala pemilik RM50,000

GEORGE TOWN, 27 Ramadan 1442H, Ahad – Seramai 47 individu termasuk pemilik sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini dikenakan kompaun berjumlah RM280,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dalam serbuan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu premis itu pada pukul 1.00 pagi sebelum mendapati semua mereka yang berumur antara 20 dan 57 tahun termasuk 16 wanita itu, sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan kesemua mereka sedang leka berhibur, dan sebaik menyedari kehadiran polis ada di antara mereka yang cuba meloloskan diri malah ada bertindak memanjat tembok untuk melarikan diri, namun tindakan pantas polis mengepung kawasan itu telah berjaya menahan 46 pengunjung di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya polis turut menahan seorang lelaki yang merupakan pemilik pusat hiburan itu selepas mendapati semua pengunjung dilihat berhibur di premis berkenaan dalam keadaan sesak tanpa penjarakan fizikal.

“Kesemua pengunjung dikenakan dikompaun RM5,000 tiap seorang, manakala pemilik pusat hiburan itu dikenakan kompaun RM50,000, menjadikan jumlah keseluruhan kompaun RM280,000,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button