Berita UtamaDunia

Kekejaman melampau! UK perlu tekan Israel demi keselamatan Palestin

MAB terkejut dengan peningkatan mendadak keganasan rejim Zionis

LONDON, 27 Ramadan 1442H, Ahad – Persatuan Muslim Britain (MAB) meminta kerajaan United Kingdom (UK) menekan negara haram Israel dalam memastikan keselamatan rakyat Palestin.

Keamanan perlu dikembalikan khususnya mereka yang tinggal di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis, di mana penduduknya dipaksa berpindah bagi tujuan pembersihan etnik.

Dalam satu kenyataan media semalam, organisasi itu mengakui terkejut dengan kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh negara penjajah Israel terhadap penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Organisasi itu berkata, Israel telah meningkatkan pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin selama beberapa minggu terakhir.

Katanya, ia termasuk ancaman perpindahan dari kediaman mereka, melarang dari memasuki tempat ibadat, menyerang penunjuk perasaaan damai serta membunuh pemuda tidak bersalah berusia 16 tahun, Said Oudeh.

“Penindasan ini bermula daripada serangan di Masjid al-Aqsa oleh Zionis dengan menggunakan bom tangan, gas pemedih mata dan peluru besi dilapisi getah bagi menyerang jemaah di sana.

“UK mempunyai tanggungjawab untuk bertindak, terutama dengan mengingatkan peranan sejarah Britain dalam penjajahan Palestin. Kegagalan untuk melakukannya sama seperti menafikan hak Palestin untuk wujud dan memungkinkan ‘apartheid’, “ katanya.

MAB turut menyeru anggotanya, umat Islam serta pembela hak asasi manusia antarabangsa untuk memastikan supaya suara mereka didengar di kawasan mereka.

“Selain memberitahu kerajaan bahawa kita berdiri bersama rakyat Palestin yang ditindas dalam tindakan keji dan keganasan oleh Israel,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button