Berita Utama

KPDNHEP tingkat pantau bekalan, harga susulan Pasar Borong KL tutup

Menteri seru pengguna agar terus jadi mata, telinga KPDNHEP

PUTRAJAYA, 27 Ramadan 1442H, Ahad – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap rantaian bekalan barangan berikutan penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 16 Mei ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya akan menilai situasi bagi memastikan bekalan barangan mencukup selain harga barang juga tidak terjejas menjelang sambutan Aidilfitri.

“KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga persatuan-persatuan peniaga yang terlibat dalam isu ini.

“Walaupun insiden ini bukan kali pertama berlaku, situasi ini perlu ditangani dengan baik supaya ia tidak dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang-barang tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memutuskan menutup operasi bahagian ikan di pasar borong itu berikutan ada beberapa kes COVID-19 membabitkan operator dan pekerja di pasar berkenaan.

Nanta turut menyeru pengguna agar terus menjadi mata dan telinga KPDNHEP serta menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian itu secara rasmi.

Aduan boleh disalurkan menerusi portal e-aduan KPDNHEP; Call Centre 1-800-886-800; e-mel kepada [email protected]; Ez ADU KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau WhatsApp kepada 019-279 4317. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button