Berita Utama

KPM bina 127 SJKC baharu, dipindah ke lokasi lain dalam masa 20 tahun

Terdapat 1,301 buah SJKC diwujudkan sehingga tahun 2021

BANGI, 27 Ramadan 1442H, Ahad – Sebanyak 127 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) telah dibina bermula tahun 1997 hingga 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 29 sekolah dibina sebagai SJKC baru, manakala 98 sekolah dibina sebagai SJKC yang dipindahkan ke kawasan lain.

Hang Soon berkata, proses pembinaan 19 SJKC baharu dan 82 yang dipindahkan ke lokasi lain telah selesai ketika ini.

Selain itu, katanya, proses pembinaan sebuah SJKC masih berjalan dengan lapan buah SJKC yang lain belum bermula.

Jelasnya, badan pengelola SJKC terbabit masih menilai tapak baharu bagi pembinaan semula SJKC yang bakal dipindahkan.

Sehingga 26 Oktober 2017, Hang Soon berkata, sebanyak 10 buah SJKC baharu serta enam SJKC yang dipindahkan ke lokasi lain telah diluluskan.

Katanya lagi, jumlah SJKC yang dibina di negara ini setakat tahun 2020 adalah sebanyak 1,300 buah, manakala jumlahnya meningkat 1,301 pada 2021.

“Jika dikira, dari tahun 1999 sehingga 2017, 127 buah sekolah yang dibina adalah SJKC baru dan SJKC dipindahkan adalah 10 peratus dari jumlah keseluruhan SJKC yang ada pada hari ini iaitu sebanyak 1,301 buah,” katanya seperti dilapor Oriental Daily pada 26 Mac 2021.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan SJKC Choon Hwa Pandan, di ibu negara.

Dalam majlis sama, Hang Soon turut menyerahkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada sekolah terbabit.

Pada masa sama beliau berkata, pembinaan SJKC Too Joon Hing di Selangor telah pun diluluskan dan beliau sendiri akan melakukan perjumpaan serta perbincangan bersama ahli jawatankuasa pembinaan SJKC terbabit.

Hang Soon berkata, semenjak dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada 10 Mac 2020, beliau sangat positif dan tidak sambil lewa dalam melaksanakan serta melakukan susulan mengenai perkara-perkara berkaitan kementeriannya termasuk proses pembinaan sekolah sebagai SJKC baharu dan SJKC yang dipindahkan.

Katanya, sektor pendidikan perlu diberi perhatian sekiranya mahukan negara untuk terus maju.

Jelasnya lagi, sebanyak 18.5 peratus pelajar di SJKC pada hari ini bukan berketurunan Cina, sekali gus menjadikan SJKC adalah contoh terbaik bagi konsep Sekolah Amanah.

“Tanpa mengira asal-usul dan latar belakang politik, kita patut mempunyai pendirian yang sama iaitu memajukan sistem pendidikan negara dan SJKC adalah salah satu komponen penting dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button