Berita Utama

Rokok, bir, mercun seludup bernilai RM2.3 juta dirampas

Polis tahan 8 lelaki dalam Op Kontraban di sekitar Selangor, Johor

KUALA LUMPUR, 27 Ramadan 1442H, Ahad – Polis merampas pelbagai jenis rokok, bir dan mercun bernilai lebih RM2.3 juta dipercayai diseludup dan menahan lapan lelaki dalam Op Kontraban di sekitar Selangor dan Johor.

Kesemua lelaki yang ditahan dalam enam serbuan dari 2 Mei hingga 8 Mei itu berusia antara 33 dan 64 tahun.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras SAC Muhammad Abdul Halim berkata dalam serbuan pertama pada Ahad, polis menahan seorang lelaki ditahan di sebuah premis berhampiran Jalan Parit Yaani, Batu Pahat, Johor dan merampas pelbagai jenis rokok dan mercun bernilai RM135,998.

Pada kira-kira 4 petang Isnin, Batalion 4 PGA Semenyih Selangor menyerbu sebuah premis di Taman Universiti, Kajang dan menahan seorang lagi lelaki serta merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM509,600.

Dua lagi lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah permis di sebuah premis di Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor pada Jumaat dan pelbagai jenis mercun bernilai RM115,318 dirampas, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada hari sama, serbuan turut dilakukan di sebuah premis di Taman Putera Indah, Muar Johor kira-kira 11 pagi dan menahan dua lelaki serta merampas mercun bernilai RM352,350 manakala seorang lagi lelaki ditahan di sebuah premis di Taman Selesa Jaya, Skudai, Johor pada tengah hari dan merampas rokok bernilai RM913,000.

Semalam, Cawangan Risik Briged Tengah PGA Cheras membuat pemeriksaan terhadap sebuah lori tiga tan di Persiaran Galaksi, Taman Desa Subang, Shah Alam, Selangor dan menahan seorang lelaki serta merampas minuman bir bernilai RM288,964.

“Op Kontraban dilancarkan Briged Tengah PGA berjaya melumpuhkan beberapa sindiket pengedaran rokok, minuman keras jenis bir dan mercun seludup tidak bercukai di sekitar Selangor serta Johor,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button