Berita UtamaDunia

Selepas serang Baitulmaqdis, Israel bom Semenanjung Gaza

2 peluru artileri ditembak ke arah timur Deir al-Balah

BAITULMAQDIS, 27 Ramadan 1442H, Ahad – Sebuah jet tempur F-16 Israel mengebom Semenanjung Gaza, malah tentera rejim melepaskan tembakan artileri di kawasan pantai yang dikepung di tengah ketegangan di Baitulmaqdis.

Pesawat perang Israel dilaporkan menyerang dua lokasi di bandar Deir al-Balah hari ini, mereka memusnah dan merosakkan harta benda berdekatan, lapor agensi berita Wafa Palestin.

Namun, serangan udara itu tidak menyebabkan kecederaan, kata laporan itu.

Saluran berita Palestin, al-Yawm (Palestin Hari Ini) melaporkan bahawa tentera Israel menembak dua peluru artileri ke arah timur Deir al-Balah, tanpa ada korban nyawa.

Tentera Israel mengatakan bahawa mereka telah melakukan serangan ke atas kubu tentera Gaza milik gerakan penentangan Hamas sebagai tindak balas terhadap serangan roket dari jalur pantai ke wilayah yang diduduki di selatan.

Sebelumnya pada Sabtu malam, pasukan Israel menembakkan peluru getah dan gas pemedih mata ke atas penduduk Palestin yang melakukan demonstrasi di sepanjang pagar Gaza sebagai solidariti dengan sesama warganegara mereka di Baitulmaqdis.

Kemarahan Gaza berlaku sehari selepas Baitulmaqdis menyaksikan beberapa keganasan terburuk di kota itu selama bertahun-tahun, dengan lebih daripada 200 rakyat Palestin cedera ketika polis Israel menyerang jemaah di perkarangan Masjid al-Aqsa.

Pertembungan itu berlaku di tengah tunjuk perasaan ekoran pengusiran rakyat Palestin secara terancang dari kediaman mereka di kawasan al-Quds di Sheikh Jarrah.

Pada Sabtu malam, jurucakap Briged Izz ad-Din al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas, mengeluarkan kenyataan menyokong tunjuk perasaan Baitulmaqdis.

“Ini adalah amaran terakhir kami. Sekiranya pencerobohan terhadap orang-orang kita di kawasan Sheikh Jarrah tidak berhenti dengan segera, kita tidak akan diam dan pihak penjajah akan membayar harga yang tinggi,” kata Panglima Briged al-Qassam, Muhammad al-Deif.

Kumpulan itu turut meminta rakyat Palestin untuk terus melakukan protes pada hari Isnin, ketika negara haram Israel merayakan pendudukan Baitulmaqis pada tahun 1967. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button