Berita Utama

Mawla Amin: Menteri Agama ingatkan jangan taksub

Tiada kompromi pihak cuba eksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan tertentu

BANGI, 12 Syaaban 1445H, Khamis – Ketaksuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, sikap taksub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu.

Beliau berkata demikian susulan isu seorang lelaki mendakwa sebagai warga Maghribi dan berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.

Mohd Naim berkata, pihaknya mengikuti perkembangan laporan oleh akhbar tempatan, Harian Metro pada 20 Februari 2024 bertajuk ‘Eksploitasi Nasab Suci Nabi’ serta laporan yang berkaitan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pendedahan yang dinyatakan dalam akhbar tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Na’im menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan tertentu.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan semua pihak sentiasa merujuk kepada JAIN berkaitan sebarang urusan pentauliahan mana-mana pendakwah supaya setiap perkara disampaikan selari dengan ajaran Islam.

Sebelum ini, media melaporkan PDRM memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa sebagai warga Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Amin’, yang mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button