Berita Utama

SOP PKP: 1,200 anggota polis ditempat di lokasi tumpuan Kuala Lumpur

Polis tak terus kompaun kecuali jika ada individu degil, bersikap sambil lewa

KUALA LUMPUR, 27 Ramadan 1442H, Ahad – Seramai 1,200 anggota dan lima pegawai ditempatkan di lokasi tumpuan di ibu negara untuk memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis turut mendapat bantuan dan kerjasama 61 pasukan membabitkan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Anggota bertugas akan beri peringatan demi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa patuh kepada SOP PKP di tempat awam.

“Kita tidak terus keluarkan kompaun kecuali jika ada individu yang tetap berdegil dan mengambil sikap sambil lewa walaupun sudah dinasihatkan beberapa kali,” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pematuhan SOP PKP di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, hari ini.

Selain itu, Azmi berkata, pihaknya akan mengekalkan sembilan sekatan jalan raya sedia ada di sekitar Kuala Lumpur.

“Setakat ini, kita tidak berhasrat untuk tambah sekatan itu,” katanya.

Antara kawasan sekatan adalah di Jalan Sentul Pasar, di hadapan Balai Polis Kepong, Lebuhraya Persekutuan hala ke ibu negara, Jalan Klang Lama, Jalan 2/27A Wangsa Melawati dan Jalan 1/91 Taman Shamelin Perkasa.

Sekatan turut didirikan di Lebuhraya Bukit Jalil, Jalan Tol Duta menghala ke Kuala Lumpur dan laluan Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button