Berita UtamaDunia

11 maut dalam letupan bas mini di Afghanistan

Wanita, kanak-kanak antara 28 mangsa cedera

KABUL, 28 Ramadan 1442H, Isnin – Satu letupan yang memusnahkan sebuah bas di Afghanistan mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan mencederakan puluhan yang lain.

Letupan maut itu berlaku pada malam Ahad di wilayah selatan Zabul, sehari selepas insiden letupan bom di luar sebuah sekolah perempuan di sini.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, seramai 28 mangsa mengalami kecederaan antaranya wanita dan kanak-kanak.

Tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab atas insiden letupan berkenaan, bahkan pemberontak Taliban tidak memberi respon segera ketika diminta komen mengenai perkara itu.

Pada awal Isnin, sebuah bas mini meletup di wilayah Parwan – di utara ibu kota, Kabul – mengorbankan dua orang dan sembilan tercedera, kata Kementerian Dalam Negeri.

Keganasan meningkat secara mendadak belakangan ini selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan menarik balik semua tenteranya pada 11 September – 20 tahun selepas serangan al Qaeda ke AS, mencetuskan campur tangan pimpinan negara itu di Afghanistan.

Ahad lalu, Taliban mengisytiharkan gencatan senjata selama tiga hari ekoran cuti Aidilfitri akhir minggu ini.

Pengisytiharan gencatan senjata dilakukan dua hari selepas pengeboman di luar sebuah sekolah di Kabul yang mengorbankan 68 orang – kebanyakan mereka pelajar perempuan – dan mencederakan lebih dari 165 orang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button