Berita Utama

Kerajaan pertahan sekolah vernakular di mahkamah

Berhak wujud dalam sistem pendidikan, tak bertentangan Perlembagaan

BANGI, 28 Ramadan 1442H, Isnin – Kerajaan berpendirian bahawa sekolah vernakular berhak wujud dalam sistem pendidikan.

Putrajaya dalam hujah pembelaan yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara kepada Mahkamah Tinggi bulan lepas berkata, Kementerian Pendidikan dan kerajaan berhujah sekolah kebangsaan Cina dan Tamil tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

Menjawab tindakan guaman tiga pertubuhan berhubung kes itu, kerajaan turut berhujah sistem pendidikan mengambil kira banyak faktor, oleh itu ia isu yang tidak boleh diadili di mahkamah.

Kertas mahkamah juga menyatakan plaintif – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) tiada ‘locus standi’ untuk memulakan tindakan mahkamah itu.

Sebelum ini, tiga kumpulan berkenaan memfailkan tuntutan mereka meminta mahkamah mengisytiharkan Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan, yang membenarkan penubuhan sekolah vernakular menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa utama, tidak konsisten dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga mahu mahkamah mengisytiharkan kewujudan sekolah berkenaan bertentangan dengan Perkara 5, Perkara 8, Perkara 19, Perkara 11, dan Perkara 12 Perlembagaan, iaitu Kebebasan Diri, Kesamarataan, Kebebasan Bersuara, Kebebasan Beragama, dan Hak Berkenaan Pendidikan.

Ketiga-tiga pertubuhan itu juga mahu kerajaan mengambil langkah memastikan kewujudan sekolah berkenaan mematuhi Perkara 152(1) Perlembagaan dalam tempoh enam bulan, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada mereka.

Selain itu, plaintif berhujah kewujudan sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantara adalah keputusan dasar tetapi tidak konsisten dengan Perlembagaan.

Memetik laporan FMT, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili plaintif berkata, ahli mereka adalah pembayar cukai yang menyumbang kepada sara sekolah vernakular.

Sementara itu, Majlis Bahasa Cina Malaysia; Malaysia Tamil Neri Kalagam dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia – antara pertubuhan yang dinamakan sebagai defendan – dalam hujah mereka berkata, cukai yang dikutip daripada orang bukan Islam juga digunakan untuk mendanai sekolah agama Islam.

Peguam mereka, T Gunaseelan berkata, beliau diarah untuk membatalkan beberapa perenggan dalam penyata tuntutan plaintif yang sudah dipinda.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan pengurusan kes pada 25 Mei.

Beliau juga menetapkan perbicaraan akan berlangsung selama empat hari bermula 22 November.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button