Berita Utama

8 militan Abu Sayyaf ditahan di Sabah

2 daripada mereka tersenarai sebagai orang dikehendaki kerajaan Filipina

KOTA KINABALU, 28 Ramadan 1442H, Isnin – Lapan individu terbabit dalam kumpulan militan Abu Sayyaf (ASG) antara ditahan Polis Sabah dalam serbuan di kawasan hutan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, dua daripada mereka yang ditahan adalah ketua kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, operasi dijalankan berdasarkan perkongsian maklumat dari pasukan keselamatan Filipina.

Serbuan dijalankan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), katanya.

“37 individu ditahan selepas disyaki menggunakan resit pengenalan sementara palsu. Kesemua individu yang ditahan adalah warga Filipina membabitkan lapan lelaki dan lapan wanita serta 21 kanak-kanak.

“Lapan yang ditahan terbabit dengan kumpulan militan Abu Sayyaf, dua lagi tersenarai sebagai orang dikehendaki kerajaan Filipina, manakala dua daripada mereka adalah tersenarai sebagai orang dikehendaki oleh kerajaan Filipina dan merupakan ‘sub leader’ ASG.

“Kedua-dua mereka ini pernah terbabit dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Marin Filipina di Bud Bawis Complex, Panama Sulu, pada 2011, 2018, 2019 dan terbaru pada November 2020 serta turut terbabit dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Hazani memaklumkan, mereka dipercayai melarikan diri masuk ke Sabah selepas pasukan keselamatan Filipina membanteras kegiatan kumpulan militan itu di negara jiran.

“Kumpulan ini dikenal pasti hanya terbabit dalam kes pertempuran dengan pihak berkuasa negara jiran dan tiada kaitan dengan sebarang kes penculikan di perairan Sabah. 

Semua individu terbabit ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button