Berita Utama

Ambil kira faktor ekonomi, langkah PKP bersasar sudah memadai

Sektor kilang jadi penyumbang kluster terbesar patut diperketat SOP, ditutup

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Ramadan 1442H, Isnin – Langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar sudah memadai, kerana ia mengambil kira faktor ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat.

Meskipun wujud desakan supaya PKP menyeluruh dikuatkuasakan, namun langkah itu berkemungkinan tidak sesuai dan mampu untuk ditanggung rakyat serta pihak kerajaan, kata aktivis Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (i-Medik), Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan.

Justeru, beliau melihat keputusan dibuat kerajaan ketika ini sudah memadai kerana meletakkan faktor ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat khususnya golongan B40 sebagai pertimbangan utama.

“Namun, pada masa sama kita juga melihat trend jangkitan yang semakin meningkat atas ketidakpatuhan SOP di kebanyakan sektor.

“Apatah lagi, dengan kemunculan beberapa varian terbaru COVID-19 seperti B1617 dari India, situasi sekarang memerlukan intervensi yang tepat dan segera,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Ahmad Muslim yang juga Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Damansara berkata, langkah PKP bersasar berdasarkan kes setempat sekurang-kurangnya usaha yang dapat mengurangkan kadar jangkitan meningkat pada musim perayaan.

Apatah lagi, dengan penguatkuasaan larangan rentas negeri dan daerah serta pantauan pergerakan kes menggunakan sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), katanya.

“Paling kurang sektor ekonomi peniaga kecil masih dapat berjalan pada kadarnya. Namun begitu fokus utama pengawalan jangkitan sepatutnya diberikan kepada sektor utama penyumbang jangkitan.

“Menurut kajian, sektor perkilangan dan pembangunan antara penyumbang kluster terbesar iaitu sebanyak 48 peratus dan 11.56 peratus daripada Februari hingga April,” katanya.

Maka, beliau menggesa supaya sektor berkenaan sepatutnya diberikan perhatian khusus, sama ada memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) atau ditutup jika terdapat kes.

“Di samping memperkasakan SOP di dalam komuniti, SOP dan perhatian khusus perlu diberikan kepada sektor perkilangan dan pembangunan juga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button