Berita Utama

Bakal jemaah haji diminta bersedia: TH

Kerajaan, TH masih tunggu pengumuman rasmi Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 28 Ramadan 1442H, Isnin – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati bakal haji Malaysia agar bersedia sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semua bakal haji hendaklah membuat persiapan sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani dan jasmani serta kewangan.

“TH telah menganjurkan kursus asas haji dalam talian sejak awal tahun ini dan akan mengadakan kursus haji perdana secara dalam talian pada bulan Syawal nanti sebagai persediaan melengkapkan bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saleh mengulas kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bahawa ibadat haji akan diteruskan tahun ini dengan syarat jemaah mematuhi semua piawaian dan peraturan kesihatan, keselamatan serta pengawalseliaan dalam usaha memelihara kesihatan dan kesejahteraan jemaah haji.

Selain itu, pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi terus menilai dan mengambil segala langkah untuk memastikan kesihatan para jemaah haji terjaga dan butiran pelan kawalan serta operasi untuk musim haji tahun ini akan diumumkan kelak.

Syed Saleh berkata, bakal jemaah haji hendaklah bersedia mengambil suntikan wajib meningococcal serta vaksin COVID-19 apabila dipanggil oleh Kementerian Kesihatan supaya proses pengambilan vaksin memenuhi masa ditetapkan, selain membuat pemeriksaan kesihatan serta menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

Katanya, TH telah memulakan persiapan awal untuk urusan haji 2021 sejak tahun lepas dengan mengambil kira setiap prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam urusan pengendalian operasinya sama ada di tanah air atau di Arab Saudi.

Meskipun persediaan bagi menunaikan rukun kelima itu telah dilakukan, beliau berkata, kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji yang dibenarkan tahun ini.

“TH akan memaklumkan perkembangan terbaharu sebaik sahaja mendapat pengumuman rasmi berkaitan kuota haji, kriteria jemaah dan syarat-syarat utama harus dipatuhi oleh semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadat tersebut,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button