Berita Utama

Kelantan beri peruntukan sama rata kepada ADUN pembangkang

Masalah air jadi keutamaan, akan cuba selesai secara berperingkat

BANGI, 6 Safar 1445H, Rabu – Kerajaan Kelantan jamin akan berlaku adil dengan memberikan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk pembangkang.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pendekatan berkenaan dibuat sebagai menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

“Kita putuskan akan beri peruntukan yang sama, ini berasaskan kepada apa yang disebut dalam al-Quran, jangan kerana kebencian kami kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil.

“Walaupun aliran politik pelbagai, namun pilihan raya sudah selesai, yang ada hanyalah wakil kepada rakyat,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, PAS menerusi Perikatan Nasional (PN) memperoleh 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala dua kerusi dimenangi masing-masing satu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pada masa sama, Mohd Nassuruddin memaklumkan, kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan itu secara berperingkat.

Beliau berkata, perkara itu akan menjadi keutamaannya selepas dipertanggungjawab mengetuai pentadbiran negeri.

“Kita akan cuba menyelesaikan masalah air kerana semua maklum masalah berkenaan, namun bukan hanya di Kelantan.

“Perkara itu akan menjadi keutamaan untuk diselesaikan secara berperingkat, selain itu, kita akan mengukuhkan sektor ekonomi melalui infrastruktur terutama pelabuhan, jaringan lebuh raya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selain meningkatkan sumber asli terutama mineral,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button