Berita Utama

Israel cabul hak asasi dunia, langgar perundangan antarabangsa: iGuru

Malaysia diminta proaktif jaga maruah tempat suci umat Islam

BANGI, 28 Ramadan 1442H, Isnin – Kerajaan Malaysia digesa untuk mengambil langkah proaktif demi menjaga kesucian tanah dan tempat suci umat Islam, ekoran tindakan kekerasan tentera rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

Sebagai negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kerajaan turut disaran melobi negara anggota yang lain serta Liga Arab untuk segera bertindak mengekang pencabulan yang tidak berperikemanusiaan ini.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan turut mendesak semua pihak terutama badan-badan hak asasi manusia sedunia memberi tekanan kepada rejim Zionis bagi melindungi kepentingan umat Islam.

Ini kerana beliau yakin isu Palestin bukan sekadar melibatkan akidah semata-mata tetapi juga isu keamanan serta kemanusiaan sejagat yang perlu ditangani oleh semua pihak.

“iGuru mengecam tindakan zalim, ganas dan tidak berperikemanusiaan rejim Israel yang menggempur kesucian Masjid al-Aqsa ketika umat Islam tekun beribadah di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Tindakan zalim askar Zionis yang mencederakan lebih 200 warga Palestin merupakan pencabulan terhadap hak asasi dunia dan melanggar perundangan antarabangsa,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 163 penduduk Palestin dan enam anggota polis Israel tercedera dalam pertempuran di Baitulmaqdis.

Polis Israel melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan ke arah penduduk Palestin di dalam Masjid al-Aqsa, di mana para jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak sedang menunaikan solat pada hari Jumaat terakhir ketika bulan Ramadan.

Dalam pertempuran itu, rakyat Palestin yang melakukan tunjuk perasaan hanya membaling botol plastik ke arah polis Israel.

Ketegangan di Baitulmaqdis semakin memuncak sejak beberapa hari lalu selepas Israel melarang rakyat Palestin mengakses ke beberapa bahagian di Kota Lama ketika Ramadan – telah ditarik balik – serta pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka di Baitulmadis bagi memberi laluan kepada penduduk Israel

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button