Berita Utama

Jawi saran masjid, surau adakan solat hajat untuk Palestin malam ini

Doa kesejahteraan, keselamatan dari kezaliman pengganas Israel

BANGI, 28 Ramadan 1442H, Isnin – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan masjid dan surau di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan melaksanakan solat hajat, malam ini.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail dalam satu kenyataan berkata, solat hajat itu disaran diadakan selepas solat Isyak bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin dari kezaliman tentera Israel.

Katanya, ia susulan peristiwa serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid al-Aqsa, baru-baru ini.

“Sesungguhnya doa yang dikirimkan dari kejauhan di dalam bulan Ramadan yang penuh barakah adalah lambang solidariti umat Islam, khususnya di Wilayah Persekutuan bagi mengecam serangan tersebut dan menentang kezaliman berterusan yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 163 penduduk Palestin dan enam anggota Israel cedera dalam pertempuran di Baitulmaqdis.

Polis Israel melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan ke arah penduduk Palestin di dalam masjid Al-Aqsa, di mana para jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak sedang menunaikan solat pada hari Jumaat terakhir ketika bulan Ramadan.

Ketegangan di Baitulmaqdis semakin memuncak sejak beberapa hari lalu selepas Israel melarang rakyat Palestin mengakses ke beberapa bahagian di Kota Lama ketika Ramadan – telah ditarik balik – serta pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka di Baitulmadis bagi memberi laluan kepada penduduk Israel.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button