Berita Utama

MUAFAKAT kutuk tindakan kejam Zionis di Baitulmaqdis

Alasan rejim dakwa diserang dangkal, walhal jemaah Palestin ditembak ketika solat

BANGI, 28 Ramadan 1442H, Isnin – Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas tentera Israel terhadap umat Islam Palestin di Baitulmaqdis, baru-baru ini.

Ketua Aktivis MUAFAKAT, Haji Rashidi Haris berkata, tindakan tidak berperikemanusian rejim pengganas itu dilihat semakin melampau apabila tiada suara dari negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) menegur pelakuan biadab berkenaan.

Malah, katanya, alasan rejim Israel menyerang jemaah Palestin yang sedang bersolat di Masjid Al-Aqsa juga disifatkan sebagai dangkal.

“Alasan polis Israel ialah disebabkan rusuhan ribuan jemaah selepas solat pada waktu malam, pasukan keselamatan terpaksa memulihkan ketenteraman.

“Padahal, tayangan video yang tular secara meluas jelas menunjukkan kekecohan ini bermula apabila polis Israel sendiri menembak ke arah jemaah yang sedang solat.

“Tidak berlaku sebarang provokasi daripada pemuda Palestin seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menyifatkan laporan media pro-Israel yang mendakwa sekumpulan Palestin membaling batu ke arah rejim hanya berita palsu.

“Tambah lagi ia berlaku dalam kawasan perkarangan Masjid al-Aqsa sewaktu jemaah sedang solat tarawih.

“Sedar atau tidak, insiden kekejaman polis Israel ini berlaku pada Hari Al-Quds, iaitu peristiwa tahunan demontrasi pro-Palestin yang seperti biasa akan diadakan secara besar-besaran di Iran, musuh utama Israel, yang turut menyaksikan ribuan perarakan di negara majoriti umat Islam di rantau ini sehingga ke Pakistan, Indonesia dan beberapa negara lain,” katanya.

Serentak itu, MUAFAKAT mendesak pelakuan melampau tentera pengganas Israel dihentikan segera.

Bahkan, beliau juga menggesa masyarakat dunia melakukan sesuatu bagi mengelakkan peristiwa seumpama itu berulang lagi ke atas umat Islam Palestin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button