Berita Utama

Apa rancangan selepas PKP 3.0? Jangan suku-suku separuh

Ambil pakar dari luar kerajaan, susun semula kepimpinan jentera jika perlu

BANGI, 29 Ramadan 1442H, Selasa – Kerajaan disaran menyemak kembali strategi dan jentera pengurusan pandemik dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuat kuasa di seluruh negara mulai esok.

Ini termasuk, mengesyorkan untuk mengambil pakar-pakar dari luar kerajaan bagi membantu pengurusan berkenaan, selain menyusun semula kepimpinan jentera sedia ada jika perlu.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah itu bagi memastikan negara tidak melaksanakan PKP secara berterusan.

“Apa rancangan selepas PKP 3.0? Jangan buat sama. Tutup, buka, tutup, buka. Suku-suku separuh dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Keputusan  itu dibuat selepas mengambil kira trend kes-kes jangkitan harian negara yang semakin meningkat.

Mengulas mengenai langkah kerajaan itu, Dr Zainal berkata, pelaksanaan PKP secara menyeluruh adalah tindakan tepat kerajaan walaupun bukan keputusan terbaik kepada semua pihak.

Beliau yakin, melalui pelaksanaan secara menyeluruh, negara akan berjaya menangani jumlah jangkitan harian sebagaimana ketika PKP 1.0 pada Mac tahun lalu.

“Kita – kerajaan, rakyat dan agensi kerajaan telah kurang berjaya menangani pandemik setelah kejayaan cemerlang dalam PKP 1.0.

“Dan kita  kurang mempelajari situasi gelombang kedua dan ketiga,” katanya.

Dalam tempoh PKP kali ini, beliau berharap kerajaan dan agensi mengambil langkah pemantauan serta penguatkuasaan yang tegas tanpa wujud ‘double standard’.

“Kompaun, denda dan sebagainya ke atas orang awam, orang politik, agama dan tuan punya premis.

“Dan rakyat meesti mematuhi SOP serta bertindak untuk menggerakkan komuniti mereka supaya membantu golongan yang terkesan serta melaporkan jika ada orang yang melanggar SOP.

“Kurangkan retorik, rayu-rayu, buat muka sedih, mengeluh penat dan sebagainya,” katanya.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan PKP 3.0 yang dilaksanakan sama seperti PKP 2.0 di mana kebanyakan sektor ekonomi terus dibuka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button