Berita Utama

Ayuh! Bangkit nyatakan bantahan kekejaman Israel terhadap Palestin

Saudara kita dihenyak dan diseksa, mereka perlukan pertolongan

BANGI, 29 Ramadan 1442H, Selasa – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan rejim pengganas Israel ke atas penduduk Palestin di Masjid al-Aqsa.

Atas dasar itu, umat Islam di Malaysia diminta bangkit menyatakan kemarahan dan bantahan terhadap perbuatan biadab rejim Zionis.

“Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam, juga merupakan bumi al-Isra’ dan al-Mi’raj. Hati umat Islam sangat sedih dengan apa yang telah dan sedang diperlakukan terhadap masjid yang mulia ini

“Saudara seakidah kita sedang dihenyak dan diseksa, mereka memerlukan pertolongan dan sokongan daripada kita,” kata PEMBINA dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, PEMBINA yang mewakili mahasiswa Islam turut menyeru beberapa perkara kepada semua rakyat di negara ini termasuk berdoa, menunaikan solat hajat, dan membaca qunut nazilah di tempat masing-masing bagi memohon pertolongan Allah SWT ke atas umat Islam di Palestin.

PEMBINA juga memohon rakyat Malaysia untuk berusaha memahami peri pentingnya pembebasan Palestin, khususnya Masjid al-Aqsa kepada dunia Islam.

“Menyebarluaskan informasi terkini keadaan rakyat Islam di Palestin melalui laman-laman sosial.

“Meningkatkan derma dan infaq ke tabung kecemasan al-Aqsa kepada agensi-agensi yang sah.

“Menggiatkan program cakna ummah di segenap peringkat masyarakat sama ada di rumah, institusi Pendidikan, surau dan masjid, kampus dan pejabat,” katanya.

Setakat ini, 22 penduduk Palestin terbunuh, manakala 106 lagi dilaporkan cedera dalam serangan udara di wilayah Gaza, termasuk beberapa daripadanya sedang kritikal.

Serangan kejam itu dilancarkan rejim penjajah Israel selepas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menuntut negara penjajah terbabit menarik tentera mereka dari perkarangan Masjid Al-Aqsa dan daerah Baitulmaqdis Timur, Sheikh Jarrah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button