Berita UtamaDunia

Hamas lancar 137 roket ke bandar Ashdod, Ashkelon

Tindak balas terhadap serangan Zionis yang sasarkan penduduk Palestin

BAITULMAQDIS, 29 Ramadan 1442H, Selasa – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) melancarkan serangan roket secara besar-besaran di wilayah-wilayah yang diduduki negara haram Israel. 

Pusat Maklumat Palestin memaklumkan, serangan itu menyasarkan bandar-bandar Ashdod dan Ashkelon, yang terletak di utara wilayah Semenanjung Gaza yang diduduki, yang turut dikuasai Hamas.

Sebanyak 137 peluru berpandu dilepaskan ke bandar-bandar berkenaan dalam tempoh lima minit.

“Serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan musuh yang menyasarkan keluarga dan rumah anggota kumpulan pejuang, di mana ini adalah serangan terbesar yang pernah kami lakukan di bandar-bandar,“ kata Hamas. 

Sistem peluru berpandu Iron Dome yang dilancarkan oleh rejim pengganas Israel dilaporkan telah memintas beberapa roket, namun terdapat roket yang secara langsung menghentam bangunan di kawasan sasaran. 

Susulan daripada itu, media Israel melaporkan dua penduduk haram maut dan beberapa yang lain cedera, manakala terdapat bangunan mengalami kerosakan. 

Sebelum ini, Hamas sudah melancarkan serangan roket dari Gaza sebagai satu tindak balas terhadap tindakan ganas Israel di Sheikh Jarrah dan di sekitar Masjid Al-Aqsa.

Awal pagi Isnin, ketegangan di perkarangan tempat ketiga paling suci bagi umat Islam meningkat selepas polis Israel menyerbu masjid, melepaskan tembakan gas pemedih mata, peluru getah dan bom tangan kepada jemaah Palestin.

Setakat ini, jumlah korban akibat serangan penjajah Israel sudah mencecah 22 orang, termasuk mangsa korban insiden pada Selasa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button