Berita UtamaDunia

Serangan keganasan Israel terhadap Palestin tuju kepada seluruh umat Islam

Dunia bantah tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis

ANKARA, 29 Ramadan 1442H, Selasa – Ribuan orang berkumpul di luar kedutaan Israel dan konsulatnya di Istanbul bagi membantah tindakan rejim pengganas itu terhadap Palestin.

Peserta di Istanbul termasuk warga Syria dan Palestin yang menyertai perhimpunan bantahan itu mengibarkan bendera Palestin biarpun Turki ketika ini melaksanakan perintah berkurung bagi membendung kes coronavirus.

Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bercakap dengan para pemimpin Timur Tengah mengenai peningkatan keganasan.

Menerusi panggilan telefon, Erdogan berbincang dengan Raja Abdullah dari Jordan; Emir Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad al-Sabah; Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu turut membincangkan isu itu dengan rakan sejawatnya di Iran, Algeria, Pakistan dan Rusia.

Menurut kenyataan dari pejabatnya, Erdogan memberitahu Raja Abdullah bahawa serangan ‘tidak berperikemanusiaan’ terhadap rakyat Palestin ditujukan kepada semua umat Islam, sambil menambah bahawa Turki dan Jordan perlu bekerjasama untuk menghentikannya.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara oleh pengganas Israel di Semenanjung Gaza semalam.

Menteri Kesihatan Gaza mengesahkan, 20 orang awam terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak dan sekurang-kurangnya 65 yang lain cedera dalam serangan terbaru itu.

Serangan itu dilancarkan rejim Israel selepas Hamas menuntut negara penjajah itu menarik tentera mereka dari perkarangan Masjid Al-Aqsa dan daerah Baitulmaqdis Timur, Sheikh Jarrah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button