Berita Utama

Utamakan vaksin kepada pekerja jika kilang sukar ditutup

Moratorium, subsidi upah perlu diteruskan bantu golongan terjejas

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 29 Ramadan 1442H, Selasa – Sekiranya kerajaan sukar mengarahkan penutupan operasi kilang atas dasar kelangsungan ekonomi, langkah terbaik adalah mengetatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kilang dan asrama yang menjadi tempat tinggal pekerja.

Kilang yang berisiko tinggi menjadi penyebar virus COVID-19 perlu memastikan pekerjanya tidak ke tempat lain selepas waktu bekerja sepanjang tempoh PKP.

Tindakan itu bagi memudahkan kawalan sekiranya jangkitan berlaku di dalam kuarters atau asrama pekerja sebelum merebak ke komuniti luar, kata penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Latiff. 

“Saya melihat PKP 3.0 yang ketat SOP-nya amat perlu kerana negara kita sudah memasuki satu lagi gelombang jangkitan yang teruk di mana beribu kes jangkitan dilaporkan. 

“Jika kadar jangkitan ini tidak dikawal, ianya dikhuatiri akan menyebabkan segala kemudahan kesihatan mencapai tahap maksima dan ini boleh memburukkan lagi krisis kesihatan yang sedang dialami sekarang. 

“Namun pada masa sama, kerajaan harus memastikan sektor ekonomi tidak terjejas dengan teruk juga kerana impak negatifnya akan memberi kesan kepada semua individu, isi rumah dan peniaga,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Menimbang tara senario itu, beliau mencadangkan supaya individu yang bekerja membabitkan pertemuan dengan ramai pihak, termasuk pekerja kilang diutamakan dalam pemberian vaksin.

Perkara ini boleh diketengahkan memandangkan fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan bermula tidak lama lagi, katanya. 

Pada masa sama, beliau turut berharap kerajaan dapat mengumumkan pakej ransangan fiskal yang terbaharu untuk membantu golongan yang terjejas teruk daripada peringkat individu, isi rumah, perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

“Bantuan seperti moratorium dan subsidi upah harus diteruskan dan pada masa yang sama memikirkan bantuan lain seperti moratorium sewa premis dan cukai taksiran. 

“Selain itu, usaha memastikan semua penganggur mendapat pekerjaan harus diperhebatkan. 

“Mungkin boleh ambil seberapa ramai penganggur untuk membantu segala aktiviti logistik pemantauan kluster jangkitan dan juga untuk program vaksinasi kebangsaan supaya proses dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan cepat,” katanya.

Semalam, 106 kluster baharu dikesan pada minggu ke-18 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), menjadikan jumlah keseluruhan kluster di Malaysia kini berjumlah 1,775.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, 44 kluster baharu adalah daripada tempat kerja iaitu sebanyak 41.5 peratus.

Manakala, sebanyak 33 kluster dari komuniti, 19 kluster dari sektor pendidikan, lapan kluster dari keagamaan, satu kluster dari pusat tahanan dan satu kluster daripada kumpulan berisiko tinggi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button