Varian B1617 India dalam perhatian global: WHO
Berisiko merebak lebih cepat sejak dikesan Disember 2020

GENEVA, 29 Ramadan 1442H, Selasa – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan varian baharu yang dikesan di India sebagai perhatian global, dengan beberapa kajian awal menunjukkan ia lebih mudah merebak.
Varian B1617 adalah yang keempat diletakkan sebagai perhatian global dan memerlukan pengesanan serta analisis lebih tinggi selepas varian lain dikesan pertama kali di Britain, Afrika Selatan dan Brazil.
“Kita klasifikasikan ini sebagai varian yang perlukan perhatian di peringkat global.
“Ada maklumat menunjukkan kemampuannya merebak dengan cepat,” kata ketua teknikal WHO bagi COVID-19, Maria Van Kerkhove.
Kes jangkitan dan kematian di India hampir mencecah paras harian tertinggi pada Isnin, sekali gus mendorong permintaan supaya Perdana Menteri Narendra Modi menguatkuasakan perintah berkurung ke atas negara kedua paling ramai penduduk.
WHO berkata, varian B1617 dikenal pasti kali pertama di India pada bulan Disember, walaupun versi sebelumnya dikesan pada Oktober 2020.
Varian ini telah merebak ke negara-negara lain, dan banyak yang telah mengambil langkah menyekat pergerakan dari India.
“Walaupun terdapat peningkatan penularan yang ditunjukkan oleh beberapa kajian awal, kami memerlukan lebih banyak maklumat mengenai varian virus ini dan garis keturuman serta sub-garis keturunannya,” kata Van Kerkhove.- Agensi