Berita UtamaIstimewa

Tindak balas umat Islam di Perancis satu peringatan: Ridhuan Tee

Wajar membuka mata semua pihak jangan sesekali hina agama lain

BANGI, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Tindak balas umat Islam di Perancis sewajarnya menjadi peringatan kepada semua pihak agar jangan sesekali mempermainkan agama lain.

Hal ini kerana umat Islam sendiri tidak pernah menganggu atau menghina mana-mana agama kerana perkara itu sangat ditegah daripada dilakukan.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menegaskan, insiden memenggal kepala seorang guru yang menghina Nabi Muhammad ﷺ wajar membuka mata semua pihak, terutama musuh Islam bahawa agama ini tidak menganjurkan perbuatan itu tetapi jangan sesekali memprovok.

Pada masa sama, beliau menyifatkan kenyataan beremosi Presiden Perancis, Emmanuel Macron menuduh Islam dengan pelbagai imej negatif sebagai tidak wajar.

Katanya, tindakan sedemikian tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin tertinggi negara.

“Amaran kepada bukan Islam di mana sahaja berada, jangan permainkan agama Islam dan umat kerana kami tidak pernah mengganggu dan menghina kamu kerana agama kami tidak membenarkan.

“Persoalannya, kenapa kamu mulakan, hina dan ‘condemn’ agama kami. Kenapa menghina Islam tatkala umat Islam seluruh dunia tidak pernah mengambil hak bukan Islam.

“Malah kamu boleh hidup senang lenang dalam negara Islam berbanding peribumi itu sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Prof Mohd Ridhuan Tee menegaskan, bahawa umat Islam tidak pernah mengkritik dan menghina Nabi Isa yang didakwa orang Kristian sebagai Tuhan mereka.

“Ini kerana, Nabi Isa, nabi kami jua. Soal kamu tidak mempercayai Nabi Muhammad ﷺ itu soal lain. Pokoknya, jangan hina atau merendah-rendahkan nabi kami.

“Walaupun kami tidak jumpa dan tidak pernah ada gambar nabi untuk ditatap, tetapi umat Islam sanggup mati mempertahankan kemuliaan baginda Rasulullah. Keputeraan baginda tetap disambut dan diingati. Baginda dan umatnya berpisah tiada.

“Baginda ajar kami soal menghormati agama dan manusia bukan Islam. Hatta, baginda ajar kami bagaimana berakhlak dengan haiwan dan alam sekeliling. Inikan pula dengan manusia atau khalifah,” tegasnya.

Di Malaysia, katanya lagi, amat jarang kedengaran orang Islam menghina atau mengkritik agama lain berbanding bukan Islam yang begitu celupar dan berani mencampuri hal ehwal agama Islam.

“Ingat! Islam agama penuh hikmah, agama sejahtera dan aman, sesuai dengan nama Islam itu sendiri. Justeru, mana mungkin Islam agama ganas atau menggalakkan keganasan (terrorism).

“Jika begitulah sifat Islam, mana mungkin Islam boleh berkembang begitu cepat dalam dunia hari ini. Dalam masa 1,400 tahun, sudah berada di tempat kedua populasi terbesar dunia meninggalkan penganut agama Hindu dan Buddha yang jauh lebih ‘lama’ daripada agama Islam,” kata beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button