Berita Utama

Kerajaan disyor tutup sektor paling tinggi sumbang kes COVID-19

Laksana semula moratorium automatik untuk pinjaman, pembiayaan

BANGI, 30 Ramadan 1442H, Rabu – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPPMM) mengesyorkan kerajaan menutup sektor yang paling tinggi menyumbang kadar pesakit COVID-19, sekali gus melaksanakan langkah proaktif mengekang penularan dalam sektor berkenaan.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar meluahkan kebimbangan susulan pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham yang menyatakan wad dan katil di unit rawatan rapi (ICU) dalam keadaan makin terdesak, di samping petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang kian lumpuh. 

“PPMM menegaskan Ordinan Darurat yang telah diwartakan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil alih premis-premis yang sesuai bagi dimanfaatkan sebagai pusat perubatan atau kuarantin tanpa perlu mematuhi keperluan undang-undang yang biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan supaya pusat kajian dan pembangunan dibina secara khusus dan terfokus kepada penghasilan vaksin tempatan serta pencegahan COVID-19.

Tidak terhad kepada perubatan moden sahaja, katanya, kerajaan juga boleh melihat aspek perubatan tradisional dan komplementari seperti perubatan Melayu dan Islam, perubatan Cina, Ayurveda, herba dan perubatan jenis lain.

Kerajaan Perikatan Nasional juga digesa melaksanakan kembali moratorium secara automatik kepada pinjaman atau pembiayaan perumahan dan kenderaan atau membeli sebahagian daripada pinjaman atau pembiayaan tersebut dari bank dengan tujuan meringankan bayaran bulanan peminjam.

“Kecualikan atau kurangkan juga cukai pendapatan pada tahun ini manakala agensi-agensi kerajaan seperti LHDN, PERKESO, KWSP, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain agensi perlu menggantung segala tindakan undang-undang terhadap rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 jukq berkaitan dengan apa-apa bayaran yang tertunggak,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai perayaan Aidilfitri, Zainul Rijal berkata, bagi mengelakkan bilangan yang hadir ketika solat hari raya dan solat Jumaat ramai, pihak berkuasa agama boleh mempertimbangkan untuk mengadakan solat tersebut secara bergilir.

“Gilirkan sebanyak dua atau tiga kali bagi membolehkan lebih ramai umat Islam dapat melaksanakan solat tersebut.

“PPMM berharap kerajaan dapat menumpukan kepada kesejahteraan rakyat di dalam apa jua tindakan mereka, mengelakkan arahan-arahan yang mengelirukan serta merasai denyut nadi rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button