Berita Utama

Tiada keperluan bangkit kebimbangan hak Sabah, Sarawak

Hak beragama, kuasai tanah, penghormatan adat istiadat dilindungi

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Tiada keperluan membangkitkan kebimbangan terhadap perkara mengenai hak kebebasan beragama, penguasaan tanah dan penghormatan adat istiadat anak rakyat Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata ini kerana hak itu akan terus dilindungi dalam status terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri Sabah dan Sarawak serta dasar berkaitan, sedia ada.

“Jika terdapat penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan kebebasan atau mengakibatkan tindakan zalim oleh mana-mana pihak ke atas hak-hak asas ini, perkara-perkara itu boleh dibawa ke meja perundangan dan pengadilan atau dibangkitkan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk tindakan seterusnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) mengenai jangka masa dan rancangan kerajaan untuk membentangkan janji-janji yang termaktub dalam Batu Sumpah Keningau.

Mengulas lanjut, Ongkili berkata tiga janji yang tertera pada batu sumpah itu pada umumnya telah termaktub sebagai antara hak-hak yang dijamin bagi Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Tiga janji itu ialah agama bebas dalam Sabah, tanah-tanah dalam Sabah dikuasai oleh kerajaan Sabah serta adat istiadat anak rakyat Sabah dihormati dan dipelihara oleh kerajaan.

Batu Sumpah Keningau merupakan monumen yang didirikan pemimpin tempatan pada 1964 mengikut kepercayaan sistem adat anak negeri Sabah di daerah Keningau setelah Sabah bersetuju menjadi rakan sekutu dalam pembentukan Malaysia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button