Berita UtamaDunia

OIC ikrar bantu pulihkan ekonomi negara Islam

Bank Dunia anggar 75 hingga 96 juta penduduk alami kemiskinan tegar

ANKARA, 4 Zulkaedah 1444H, Rabu – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berikrar untuk memulihkan ekonomi dan meneruskan pembangunan negara-negara Islam, lapor agensi berita Anadolu.

Setiausaha Agungnya, Hissein Brahim Taha berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat ke-39 Jawatankuasa Tetap kerjasama Ekonomi dan komersial OIC (COMCEC) di Ankara, Turkiye.

Katanya, pandemik COVID-19 menyebabkan kelembapan dalam sektor ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam skala global.

“Pada pertengahan 2022, dunia mulai mengawal wabak namun pertumbuhan ekonomi kekal lemah berikutan faktor pertempuran Ukraine-Russia.

“Peperangan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kedua-dua negara tetapi di peringkat global termasuk negara yang mempunyai hubungan ekonomi yang rapat dengan kedua-duanya.

“Sistem bekalan makanan terganggu akibat perang dan keselamatan makanan banyak negara anggota OIC juga terjejas teruk,” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan anggaran Bank Dunia, krisis yang berlaku mendorong 75 hingga 96 juta penduduk akan mengalami kemiskinan tegar.

“Kami sedang berusaha untuk menyokong pemulihan dan meningkatkan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota.

“Kami akan mengadakan lebih banyak mesyuarat termasuk di Qatar bagi membincangkan keselamatan makanan dan pembangunan pertanian,” katanya sambil menjelaskan mesyuarat kedua diadakan pada suku keempat tahun ini.

Hussein menambah mesyuarat di peringkat menteri akan diadakan bagi menyokong sektor pertanian, keselamatan makanan selain mewujudkan lebih banyak pekerjaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button