Berita UtamaPendapat

Tip menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika PKP untuk wanita

Kirimkan juadah pada tersayang, erat hubungan silaturahim

ALHAMDULILLAH, Allah SWT telah memberikan kita semua kesempatan untuk menyambut Syawal setelah 30 hari berpuasa dan beribadah di bulan Ramadan. Semoga Allah menerima amalan kita semua.

Kerajaan Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 12 Mei hingga 7 Jun iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Namun begitu, ianya tidak melunturkan semangat kita untuk menyambut hari kemenangan bagi umat Islam, khususnya bagi wanita. Para wanita pasti akan menjadi orang paling sibuk demi untuk menghidupkan suasana hari raya, walaupun tidak semeriah dahulu.

Berikut merupakan sedikit tips buat para wanita dalam menyambut hari raya aidilfitri dalam tempoh PKP ini.

1. Memperbanyakkan ibadah semasa malam raya

Semasa PKP ini, kita mungkin mempunyai lebih banyak masa untuk beribadah kerana tidak terlalu banyak persiapan yang perlu kita lakukan. Menurut Imam Syafie di dalam kitabnya Al Umm, Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya al-Umm;

“Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban,”

Maka, ayuhlah kita mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT memohon keampunan dan menghidupkan iman kita.

2. Bersederhana

Dalam keadaan ekonomi yang masih belum stabil lantaran COVID-19, para wanita mesti memastikan perbelanjaan untuk menyambut Syawal ini dilakukan secara bersederhana sahaja.

Rancang perbelanjaan supaya kita tidak berlebih-lebihan dalam berbelanja. Antara cara yang boleh kita lakukan untuk menaikkan ekonomi tempatan adalah dengan menyokong peniaga tempatan.

Sesungguhnya sifat bersederhana itu sangat mulia dan dituntut di dalam Islam.

“Makan, minum, bersedekah dan berpakaianlah tanpa disertai dengan sikap berlebih-lebihan atau sikap sombong,” (HR An-Nasa’i, No. 2559)

3. Kirimkan juadah pada yang tersayang

Walau pun kita tidak dapat bertemu dengan yang tersayang, ia tidak menghalang kita untuk menzahirkan kasih sayang pada mereka. Kirimkan juadah yang telah disediakan kepada yang tersayang.

Semoga dengan cara ini, kita dapat berkongsi kebahagiaan dan dapat menguatkan lagi hubungan sesama keluarga dan sahabat.

4. Eratkan hubungan silaturahim, bermaafan sesama kita

Syawal kali ini, jangan dilupakan keluarga dan sahabat yang jauh di mata. Walaupun suasana tidak lagi sama, namun hubungilah mereka melalui pelbagai teknologi yang sedia ada. Seandainya kita berseorangan Syawal ini, pastikan kita berinteraksi dengan orang yang terdekat, khususnya ahli keluarga supaya kita dapat mengurangkan kerinduan yang selama ini terpendam.

Dalam surah Al-Hujuraat ayat 10, Allah berfirman:

“Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat,”

Semoga Syawal kali ini menjadikan hubungan semakin erat walaupun kita tidak lagi dapat berjumpa mereka yang jauh di mata.

5. Hias dan kemas rumah anda

Biarpun kita tidak dapat kunjung-mengunjung, namun jangan biarkan ia sebagai alasan untuk kita tidak mempersiapkan rumah kita.

Hidupkan suasana di rumah sendiri, supaya ahli rumah tersebut dapat merasakan suasana Aidilfitri itu. Jika ada anak kecil, libatkan mereka di dalam projek menghias dan mencantikkan rumah supaya mereka bersemangat untuk menyambut Syawal.

6. Sediakan diri untuk ibadah di bulan Syawal

Ramadan telah mendidik kita, maka jadikan Syawal sebagai titik permulaan kita dalam usaha kita menaikkan dan memperbaharui iman kita. Antara ibadah yang dituntut adalah melaksanakan puasa enam.

Sabda Rasulullah ﷺ:

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, dan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun,”.(Riwayat Muslim)

Jadi buat para wanita, didiklah anak-anak supaya turut serta dalam ibadah ini dan ingatkan ahli keluarga lain tentang sunnah ini, kerana ganjarannya amatlah besar.

Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button