Artikel Khas

Aidilfitri: Perbaharui tekad daulatkan Islam, kembalikan ke puncak kuasa

Tak ada jalan pintas kecuali berpegang kepada al-Quran dan Sunnah

SEGALA puji bagi Allah yang menyempurnakan 30 Ramadan buat ke sekian kalinya bagi hamba-hambaNya.

Dikurniakan kepada umat Islam hari raya Aidilfitri melengkapkan nikmatNya ke atas mereka. Syawal yang datang memberi isyarat bahawa umur kita sudah bertambah dan janji untuk menghadap Allah pula sudah semakin hampir. Juga bermakna peluang untuk kita kembali kepada fitrah Islam sudah diberikan oleh Allah puluhan kali. Sewajarnya kita memuhasabah diri atas segala peluang itu, sejauh mana kita telah gunakan sebaiknya.

Ramadan kali ini menyaksikan dunia yang masih lagi belum berjaya keluar dari wabak COVID-19. Allah terus menunjukkan kekuasaan mutlakNya menundukkan segala keegoan manusia yang cerdik dan membuntukan akal manusia yang panjang.

Tetapi di masa yang sama, kita melihat Barat yang paling teruk menerima kesan dari COVID-19 masih angkuh di bulan mulia ini lalu membantai umat Islam melalui proksi mereka, Israel. Kesombongan yang tiada batas, tanpa rasa insaf terus mendabik dada mencabar kuasa Allah, pemilik al-Quds.

Di peringkat negara pula kita menyaksikan kemelut politik yang tidak berkesudahan. Kelemahan kuasa politik Melayu Islam sama ada yang memegang tampuk kuasa atau yang berada di barisan pembangkang, digunakan dengan sebaiknya oleh pihak anti-Islam untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Kita menyaksikan di depan mata kita bagaimana berlakunya satu demi satu insiden merendahkan kedudukan kuasa Melayu Islam. Dan kini ianya telah sampai ke peringkat membisukan pihak berkuasa dan membutakan mata mereka. Satu demi satu kejadian berlaku setiap hari dan semakin ia memberikan tanda tanya kepada kita; di pihak manakah pihak berkuasa sebenarnya berada?

Syawal adalah bulan kemenangan. Ia adalah bulan kembalinya manusia dan dunia kepada fitrah Islam. Kita menyambutnya dengan takbir membesarkan Allah yang menghancurkan kuasa musyrikin dan sekutu mereka. Kita berjanji untuk membulatkan ubudiah hanya kepada Allah seikhlas hati kita. Kita berikrar akan tetap bersama Islam walau pun dibenci oleh kafirin.

Tetapi benarkah takbir itu benar-benar membawa erti demikian pada Syawal tahun ini?

Sempena kedatangan bulan fitrah ini, saya menyeru seluruh umat Islam amnya dan seluruh pemimpin umat Islam khasnya agar sama-sama kita memperbaharui tekad kita untuk mendaulatkan Islam dan mengembalikannya ke puncak kuasanya.

Tidak ada jalan pintas untuk mendaulatkan Islam kecuali dengan kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Jadikanlah keduanya sebagai dustur dan rujukan. Angkatlah keduanya di kedudukannya yang sebenar sebagaimana yang Allah kehendaki. Buanglah segala ideologi asing yang selama ini telah mengganggu perkembangan negara. Lemparkan jauh-jauh segala wala’ kepada Barat atau Timur dan berikan wala’ sepenuhnya hanya kepada Islam.

Marilah kita lebih bersungguh dan secara berstrategi untuk menyatukan umat Islam sehingga terbina kekuatan hakiki; kekuatan yang mampu menangkis dan menggagalkan segala usaha pihak anti Islam untuk memasakkan kuasa mereka. Adalah tidak logik umat yang majoriti di buminya sendiri terus menerus tidak mampu untuk menghalang makar golongan minoriti.

Kesatuan umat wajib dibina dari kesepakatan semua badan dan tokoh dalam diri umat. Tidak sepatutnya hanya dihadkan kepada kesepakatan beberapa kumpulan tertentu atau beberapa individu tertentu. Tidak pernah berlaku dalam sejarah kegemilangan umat, satu keadaan di mana ada badan umat yang disisihkan. Penyisihan hanya akan membawa kepada kelemahan.

Buanglah segala kepentingan peribadi. Tuluskan diri dalam perjuangan, hanya untuk maslahah umat dan agama. Kepentingan peribadi jika dijadikan asas dan titik tolak perjuangan akan menjadikan seorang pemimpin itu murah dan mudah dijual beli. Kepentingan umat akhirnya akan tergadai dan pemimpin umat Islam tanpa sedar mengukuhkan agenda musuh.

Syawal sepatutnya membulatkan ketundukan kita hanya kepada apa yang Allah mahu. Jiwa kita sepatutnya sudah terdidik untuk ikhlas dan bersih dari sebarang niat lain dari Allah. Ingatlah bahawa sesiapa yang mengejar maslahat peribadi yang bersifat duniawi, dia hanya akan lelah dan keletihan.

Akhirnya kita berdoa kepada Allah agar menerima Ramadan kita dan mengurniakan Syawal yang bermakna. Moga wabak COVID-19 ini akan berakhir dengan selamat dan kehidupan kita kembali kepada keadaan yang lebih baik. Moga Allah redha terhadap apa yang kita lakukan dan sentiasa menjadikan kita istiqamah di atas jalanNya yang lurus.

Taqabalallahu minna wa minkum

Selamat Hari Raya
Maaf Zahir dan Batin

Ustaz Haji Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button