Berita Utama

Gelar Hamas militan, cukupkah sekadar mohon maaf?

Ambil tindakan terhadap editor, pembaca berita dan pihak yang terbabit

BANGI, 1 Syawal 1442H, Khamis  – Biadab sekali! Cukupkah hanya permohonan maaf? 

Demikian tempelak mantan Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Omar Kassim terhadap tindakan pihak Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) berhubung isu laporan Berita Mandarin yang menggelar Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai militan.

Sebelum ini, berita Mandarin yang disiarkan RTM menyatakan, “Kumpulan militan Hamas di Gaza telah melancarkan beberapa roket ke arah Jerusalem dan selatan Israel. “

Susulan laporan terbabit, RTM menerima kritikan dan kecaman daripada pengguna media sosial yang rata-rata kecewa dengan laporan berita daripada media kerajaan itu.

Semalam, menerusi ciapan balas di laman Twitter kepada Ismaweb.net, RTM mengakui akan kekhilafan pihaknya dalam memberi gelaran itu.

“Pihak Berita Mandarin RTM telah membuat permohonan maaf atas kekhilafan penggunaan istilah untuk pejuang Hamas dalam laporan berita semalam,” katanya.

Meskipun sudah membuat permohonan maaf, Omar Kassim menyifatkan tindakan RTM itu tidak memadai.

“Siasatan terperinci dan tindakan tegas seharusnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dari editornya kepada pembaca berita serta semua rantaian persiapan berita tersebut.

“Biadab sekali. Jangan ada yang menjadi proksi Zionis di Malaysia,” tegasnya dalam kenyataan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button