Berita Utama

Gelar Hamas militan, editor Berita Mandarin RTM dipanggil beri penjelasan

Surat Tunjuk Sebab dan siasatan lanjut sedang dilaksana

BANGI, 1 Syawal 1442H, Khamis – Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah memanggil Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin, TV2 Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) untuk memberikan penjelasan dan laporan lengkap berhubung laporan beritanya pada 12 Mei lalu.

Tindakan itu susulan perkongsian di laman sosial mengenai penggunaan istilah yang merujuk kepada kumpulan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dalam pelaporan berita Mandarin oleh TV2, RTM berkaitan serangan udara Israel terhadap Palestin.

Atas sebab itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau telah segera mengarahkan siasatan dan tindakan lanjut diambil oleh pihak pengurusan RTM.

Katanya, ini termasuk mengenakan Surat Tunjuk Sebab (STS) ke atas pegawai terlibat dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

Selain itu, permohonan maaf secara terbuka dalam siaran berita untuk pembetulan juga telah disiarkan dalam Berita Tengah Hari pada jam 1 tengah hari, dan Berita Mandarin pada jam 7 malam, hari yang sama iaitu 12 Mei, kata Saifuddin.

Beliau berkata, Seksyen Berita Hal Ehwal Semasa telah diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) tugasan bilik berita, khususnya dalam penyuntingan dan penerbitan berita TV untuk memastikan kesilapan sama  tidak berulang.

“RTM peka tentang situasi yang berlaku dan sentiasa teguh menyokong pendirian Malaysia dan aspirasi rakyat berhubung konflik yang melanda dan mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin.

“RTM akan terus berusaha dalam menambahbaik kualiti penyampaian berita dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button