Berita UtamaDunia

Hamas gesa penduduk Palestin keluar berdemonstrasi

Bantah serangan polis Israel terhadap jemaah, pengeboman berterusan

GAZA, 2 Syawal 1442H, Jumaat – Pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh menggesa warga Palestin di seluruh wilayah yang diduduki dan di Israel untuk keluar berdemonstrasi pada hari kedua Aidilfitri.

Laman sesawang New Press memetik Haniyeh yang menuntut demonstrasi untuk membantah tindakan terbaru polis Israel terhadap jemaah muslim di Masjid Al-Aqsa serta pengeboman berterusan di Gaza yang menyebabkan sekurang-kurangnya 113 orang terkorban.

Haniyeh membuat gesaan itu pada hari Jumaat ketika Gaza menghadapi kemungkinan pencerobohan darat Israel yang serupa seperti tahun 2014.

Pagi tadi, Israel telah menempatkan tentera, kereta kebal dan artileri di sempadannya berhampiran Gaza.

Israel berterusan mengebom Semenanjung Gaza dengan serangan udara serta tembakan artileri – mengabaikan gesaan antarabangsa untuk bertenang – bahkan meningkatkan pengerahan tentera dan kereta kebal di sekitar wilayah Palestin yang dikepung.

Wartawan Al Jazeera, Safwat Al Kahlout dari Gaza melaporkan bahawa pada jam 12.10 malam, tentera Israel berkumpul di sempadan, bagaimanapun bertentangan dengan beberapa laporan berita, tidak ada serangan darat yang berlaku.

“Operasi darat memerlukan banyak persiapan, memerlukan ramai tentera,” katanya sambil memaklumkan kemungkinan besar jumlah kereta kebal, artileri dan tentera belum cukup untuk memasuki Gaza. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button