Berita Utama

Israel terdesak! Serangan brutal untuk paksa Hamas mengaku kalah

Rejim Zionis mahu patahkan semangat juang rakyat Palestin sokong Hamas

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Syawal 1442H, Jumaat – Serangan secara brutal ke atas Semenanjung Gaza adalah tindakan terdesak pengganas Israel untuk memaksa Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengaku kalah.

Melihat situasi tegang ketika ini, ternyata rejim penjajah sangat terdesak dan tidak bersedia meneruskan peperangan, namun mereka sebenarnya enggan dilihat kalah.

Ini kerana, implikasi kekalahan amat besar bakal dihadapi negara haram Israel, melihat kepada kebangkitan semangat di benteng serangan dan pertahanan di Semenanjung Gaza. 

Demikian pandangan Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mengulas tindakan ganas dan kejam Zionis yang kini sudah mengorbankan lebih 100 nyawa dan memusnahkan sebahagian besar di Gaza. 

Pemimpin gerakan Islam itu berkata, tujuan Hamas dalam perang kali ini ialah untuk memberi mesej bahawa Gaza dan al-Quds adalah satu negeri, dan sebarang keganasan ke atas al-Quds bermakna ia keganasan ke atas Gaza.

“Kemenangan Hamas bermakna mesej itu perlu diterima oleh Israel dan ini sangat pahit untuk ditelan mereka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Atas sebab itu, Ustaz Abdullah Zaik berkata, Israel berharap supaya serangan secara brutal yang dilancarkan mereka dapat mematahkan semangat juang rakyat Palestin yang menyokong Hamas.

Setakat ini, lebih 103 rakyat Palestin terbunuh manakala 580 yang lain cedera dalam serangan ganas berterusan ke atas Semenanjung Gaza sejak Isnin.

Bagi menuntut pembelaan, Sayap tentera Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Briged Izzuddin Al-Qassam semalam melancarkan 130 serangan roket di Askalan, Ntivot dan Sderot di Israel, yang turut memaksa semua penerbangan ke  Tel Aviv dilencongkan.

Serangan dilancarkan bagi membalas kemusnahan bangunan kediaman 12 tingkat penduduk Palestin dan kematian komander kanan Hamas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button