Berita Utama

Sebar kekejaman rejim Zionis di media sosial

Kerajaan Malaysia perlu ambil peranan bela nasib Palestin

BANGI, 2 Syawal 1442H, Jumaat – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengajak umat Islam membantu rakyat Palestin yang ketika ini sedang berjuang menentang kekejaman rejim Zionis.

Menyebarkan kesedaran mengenai rejim negara haram antara tindakan yang boleh dilakukan selain membantah kekejaman mereka.

Kita juga boleh melaporkan akaun media sosial milik mereka, menyalurkan sumbangan serta terus bertawakkal agar umat Islam di sana terbela.

Yang di-Pertua PEMBINA UKM, Naqib Zahid berkata, walaupun umat Islam negara ini sedang menyambut kemenangan – susulan berjaya mengharungi bulan Ramadan – namun begitu tidak sama nasibnya dengan saudara di Palestin.

“Mereka sedang berjuang menentang kekejaman rejim Zionis. Empat keluarga di Syeikh Jarrah diusir daripada tempat tinggal mereka, harta dirampas dan kesucian Masjid Al-Aqsa dirosakkan.

“Rejim pengganas Zionis ini tidak sahaja membalas bantahan penduduk Palestin dengan melepaskan gas pemedih mata di perkarangan Masjid Al-Aqsa sewaktu solat tarawih dan di Syeikh Jarreh, bahkan melepaskan bom di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Malaysia tidak berdiam diri, sebaliknya mengambil tindakan sewajarnya dalam hal ini.

“Sebagai sebuah kerajaan Islam ambil peranan untuk terus mendesak Israel di medan-medan antarabangsa dan bekerjasama dengan kerajaan Islam yang lain bagi membela nasib Palestin,” katanya.

Setakat ini, lebih 103 rakyat Palestin terbunuh manakala 580 yang lain cedera dalam serangan ganas berterusan ke atas Semenanjung Gaza sejak Isnin.

Ketegangan di wilayah itu meningkat sejak mahkamah Israel minggu lalu memerintahkan pengusiran keluarga Palestin dari kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button