Berita UtamaDunia

132 terkorban mangsa keganasan rejim penjajah

Pesawat perang Israel didakwa musnahkan masjid

BAITULMAQDIS, 3 Syawal 1442H, Sabtu – Pesawat rejim Israel meningkatkan serangan udara di Gaza pada awal Sabtu, sementara Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) bertindak balas dengan menembak roket ke negara pengganas itu.

Pegawai perubatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam satu daripada beberapa serangan udara di utara Gaza.

Penduduk berkata, kapal tentera laut Israel menembak peluru dari Laut Mediterranean walaupun tidak ada yang sampai ke semenanjung.

Kementerian hal ehwal agama Palestin mendakwa, pesawat Israel memusnahkan sebuah masjid.

Setakat ini, laporan tersebut sedang disiasat.

Ketiadaan tanda-tanda berhentinya serangan mengakibatkan angka korban semakin meningkat.

Penduduk Palestin melaporkan 11 terbunuh di Tebing Barat susulan serangan tentera Israel ke atas mereka.

Sekurang-kurangnya 132 orang terbunuh di Gaza sejak Isnin – termasuk 32 kanak-kanak dan 21 wanita – dan 950 yang lain cedera, kata pegawai perubatan Palestin.

Hamas berkata, seorang wanita dan seorang budak lelaki adalah antara empat orang yang terkorban dalam serangan udara Israel yang menghentam rumah milik keluarga Abu Hattab di kem pelarian pantai Bandar Gaza.

Tentera Israel tidak segera memberi respon mengenai serangan tersebut.

Di pihak Israel, pihak berkuasa berkata, antara lapan orang terbunuh ialah seorang tentera yang melakukan rondaan di sempadan Gaza dan enam orang awam termasuk dua kanak-kanak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button