Berita UtamaDunia

COVID-19 bukan lagi kecemasan antarabangsa

KKM tetap terus buat pencegahan COVID-19 berdasarkan protokol sedia ada

BANGI, 17 Syawal 1444H, Isnin – Wabak COVID-19 kini tidak lagi dikategorikan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu mengambil kira trend global yang menunjukkan penurunan bagi kes kematian COVID-19, selain kemasukan kes ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tahap imuniti populasi dunia terhadap virus SARS-CoV-2 yang tinggi.

“Keputusan itu juga dibuat berdasarkan hasil perbincangan Jawatankuasa Darurat Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa(IHR) yang berlangsung di Geneva pada 4 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan dari 1 Januari hingga 30 Jun.

Malah, pihaknya menjangkakan penilaian risiko situasi jangkitan COVID-19 akan dilaksanakan pada pertengahan Jun 2023 bagi menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan.

Bagaimanapun Dr Zaliha berkata, KKM akan tetap meneruskan langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berdasarkan protokol sedia ada serta membuat semakan semula termasuk mengemas kini garis panduan COVID-19 dengan merujuk kepada kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kementerian Kesihatan sentiasa komited dan akan terus memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button