Berita Utama

Sumbangan rakyat Malaysia disalur terus ke Palestin, tegas Aman Palestin

Tidak guna duta sebagai orang tengah, ada cawangan rasmi di Gaza

BANGI, 3 Syawal 1442H, Sabtu – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) sekali lagi menegaskan sumbangan untuk rakyat Palestin disalurkan secara terus tanpa melalui pihak kedutaan mereka.

Pengurus Aman Palestin, Mohd Hanif Mohd Shaidi berkata, sememangnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini tidak menyalurkan dana kepada Duta Palestin di Malaysia untuk Masjid al-Aqsa kerana tanggungjawab penyelenggaraan adalah di bawah Kementerian Wakaf Kerajaan Jordan.

“Aman Palestin mempunyai cawangan rasmi di Gaza dan penyaluran dana dari kami adalah ‘direct’ melalui akaun cawangan rasmi di sana yang dihulurkan terus kepada rakyat Palestin yang memerlukan tanpa mengira ideologi politik dan lain-lain selagi ianya layak.

“Pihak kami tidak menggunakan khidmat Duta Palestin tersebut sebagai orang tengah untuk penyaluran dana,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu lama yang kembali bangkit di media sosial bahawa sumbangan orang ramai tidak sampai ke Palestin.

Menepis dakwaan itu, Mohd Hanif berkongsikan pautan video YouTube berhubung kejayaan projek yang telah dilaksanakan Aman Palestin dengan dana daripada amanah penyumbang.

Antaranya pembinaan masjid terbesar di Gaza, Masjid as-Syafie; pembinaan sekolah Quran (Tahfiz) di Gaza; pembinaan semula sekolah anak yatim Dar el-Fadeelah; pembinaan telaga dan tangki air Syria serta penyaluran Ramadan bersama Palestin.

Pada Februari tahun lalu, Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali memaklumkan sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.

Beliau dilaporkan berkata, sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa tidak sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir oleh Kementerian Wakaf Jordan.

Susulan itu, 10 NGO yang terbabit dalam kerja kebajikan rakyat Palestin dilaporkan menuntut duta negara berkenaan memohon maaf berikutan kenyataannya itu.

Ini kerana kenyataan Walid itu hanya memberi kesan buruk kepada NGO seperti mereka dan dibimbangi akan memberi impak kepada kerja kebajikan di Palestin selain menggugat keyakinan penderma.

Mereka juga mendesak Walid menarik balik kenyataan itu jika tidak dapat memberikan bukti.

Sementara itu, Wisma Putra mengambil maklum kenyataan NGO yang antara lain menyatakan dana kutipan rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui rakan-rakan NGO masing-masing di Palestin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button