Berita Utama

Malaysia suara pendirian teguh menentang keganasan Israel

Akan sertai Mesyuarat Tergempar OIC pada Ahad

KUALA LUMPUR, 3 Syawal 1442H, Sabtu – Malaysia akan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel, pada Mesyuarat Tergempar pada Ahad.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang akan mewakili Malaysia berkata negara ini sentiasa teguh berdiri dan bersolidariti dengan rakyat Palestin.

“Pada mesyuarat itu esok, saya akan menyuarakan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi Malaysia mengenai perkara ini kepada OIC.

“Saya juga akan menyuarakan gesaan Malaysia supaya OIC mengambil tindakan lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar itu diadakan bagi membincangkan mengenai keganasan Israel, pencerobohan dan pendudukan kuasa rejim itu di wilayah Palestin terutamanya di Al-Quds AlShareef.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata beliau telah berhubung dengan Menteri Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Haji Erywan Mohd Yusof dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi bagi mencapai kata sepakat antara negara-negara Islam Asia Tenggara mengenai Palestin.

“Secara kolektif, kami bertiga mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Isreal terhadap rakyat Palestin dan mahu Israel hentikan serta merta tindakan pencerobohan di seluruh wilayah Palestin,” katanya. Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button