Berita Utama

Sokong ‘two state solution’, rakyat rasa dikhianati dengan ucapan PM

Apakah PAS setuju pendirian kerajaan iktiraf Israel sebuah negara bersama Palestin?

BANGI, 3 Syawal 1442H, Sabtu – Rakyat pasti rasa dikhianati apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat ‘antiklimaks’ mengumumkan pendirian kerajaan menyokong ‘two state solution’ dalam perutusan khas Perdana Menteri, hari ini.

Lebih mengecewakan, apabila sidang media khas kerajaan berhubung isu Palestin yang ditunggu-tunggu rakyat itu hanyalah menyatakan sesuatu pendirian menyakitkan hati dan seolah-olah tiada nilai tambah.

Apatah lagi, ketika ini rakyat Malaysia sedang rancak berjuang berkempen menyedarkan seluruh dunia mengenai kekejaman pengganas Israel dengan naratif mereka sebagai ‘pencuri’ tanah Palestin.

Demikian tegas Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkenaan inti pati ucapan Perdana Menteri dalam perutusan khas mengenai isu Palestin petang tadi.

Muhyiddin dalam ucapannya berkata, Malaysia menyokong penyelesaian adil dan saksama melalui penyelesaian dua negara atau two state solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

Beliau berkata, negara akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak berkaitan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kesal dengan ucapan itu, Haji Aminuddin berkata, rakyat kecewa dan marah apabila Muhyiddin mengumumkan pendirian berkenaan, yang akhirnya mengiktiraf penjajah Israel sebagai sebuah negara berdaulat.

“Ya, kalian boleh berhujah bahawa pendirian ‘two state solution’ ini adalah pendirian kerajaan sejak Barisan Nasional memerintah dahulu, tetapi kita mengharapkan pendirian itu berubah ‘once and for all’.

“Kerajaan baharu, maka polisi baharulah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengharapkan supaya komponen Perikatan Nasional (PN)  – PAS – yang lantang menentang pendirian ‘two state solution’ sebelum ini, membuat bantahan tegas sehingga pendirian kerajaan berubah sepenuhnya di peringkat dasar serta polisi.

“Rakyat pasti tertanya-tanya apakah PAS bersetuju dengan pendirian kerajaan yang mahu mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara bersama Palestin?

“Lebih ironinya ialah hari ini merupakan ulang tahun peristiwa rampasan kuasa Zionis untuk menubuhkan negara haram itu, yang mana peristiwa ini dipanggil sebagai peristiwa Nakbah (Hari Kecelakaan) di mana lebih 700,000 warga Palestin dihalau dan ratusan bandar Palestin dimusnahkan.

“Ayuh rakyat Malaysia, inilah peluangnya untuk mengubah dasar dan polisi negara yang sekian lama berakar kononnya tidak berubah ini. Kita desak habis-habisan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button