Syria lancar tiga roket ke negara haram Israel
Penyokong Palestin maut ditembak IDF
TEL AVIV, 3 Syawal 1442H, Sabtu – Tiga roket dilancarkan dari Syria ke arah negara pengganas Israel lewat Jumaat di tengah-tengah himpunan solidariti bersama rakyat Palestin semalam.
Bagaimanapun salah satu roket gagal dilancarkan – jatuh di sisi sempadan Syria – manakala dua yang lain jatuh di kawasan terbuka, menyebabkan siren berbunyi.
Briged Tahir Palestin yang ditempatkan di Syria mengaku bertanggungjawab terhadap roket itu sejurus selepas menembaknya.
Kejadian itu berlaku takala himpunan solidariti yang diadakan di sempadan Israel dengan Lubnan, Jordan, di bandar-bandar Arab Israel dan di Tebing Barat.
Beberapa peserta menghampiri sempadan Lubnan berhampiran bandar Metulla Israel sebanyak dua kali – awal pagi dan petang – pada hari Jumaat.
Pada awalnya, tiga penyokong Palestin melintasi jalan masuk di pagar sempadan dan menyeberang ke Israel.
Mereka kemudian disertai oleh empat lagi peserta dan memulakan kebakaran di wilayah Israel. Kebakaran juga berlaku di wilayah Lubnan.
Ketika kejadian, salah seorang peserta yang dikenali sebagai Muhammed Tahan, ditembak di kaki oleh pasukan Tentera Pertahanan Israel (IDF) sebelum kembali ke Lubnan bersama-sama peserta lain.
Dia kemudian meninggal dunia akibat kecederaan dialami. – Agensi