Berita Utama

I-Guru zahir penghargaan atas pengorbanan guru laksana PdPr

Kerajaan digesa tambah pemberian data internet guru serta kos pembelian alat bantu mengajar secara digital

BANGI, 4 Syawal 1442H, Ahad – Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada warga guru yang telah berusaha serta bekerja keras dalam menyampaikan ilmu dengan apa cara atau di mana jua mereka berada. 

Pengerusinya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, guru adalah obor penyuluh ilmu dan adiwira kepada negara.

“Tanpa semangat keguruan, akan terbantut makna keilmuan. Keilmuan mesti berpaksikan semangat dahagakan ilmu dan bersedia meningkatkan ilmu baharu. 

“Para guru adalah tonggak pendidikan negara dan merekalah nukleus utama membangunkan anak bangsa sekali gus mencorak masa depan dan peradaban watan,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

Beliau berkata, tahun ini Hari Guru diraikan dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri serta kes jangkitan positif COVID-19 yang semakin meningkat setiap hari. 

Tambahan pula, katanya, dunia digemparkan dengan serangan ganas dan tidak berperikemanusian rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kita raikan sambutan ini dalam normal baharu dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP) serta memanfaatkan dunia digital untuk menyampaikan mesej sambutan Hari Guru. 

“Media digital menjadi wahana menterjemahkan aspirasi penghargaan kepada warga guru yang tidak jemu mendidik generasi meskipun berdepan cabaran pandemik,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee berkata, pengalaman yang dilalui sebelum ini sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mematangkan warga guru untuk terus menimba ilmu dan kemahiran digital.

Ianya dilakukan demi meningkatkan kompetensi diri sebagai pendidik dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik tanpa mengira latar belakang, di desa atau bandar, miskin atau berada, pelbagai anutan agama dan bangsa meskipun berdepan cabaran, katanya.

“Tujuannya adalah satu iaitu memastikan kelangsungan pendidikan dan tiada murid yang keciciran dalam mendapatkan akses pendidikan,” katanya.

Justeru, berdepan cabaran PdPr 3.0, i-Guru ingin menggesa kerajaan meningkatkan akses capaian internet di kawasan luar bandar dan pedalaman serta menyegerakan bantuan alat peranti kepada murid dari keluarga B40.

Kerajaan juga perlu menyediakan insentif khas untuk warga guru memanfaatkan pengajaran digital dengan tambahan pemberian data internet dan kos pembelian alat bantu mengajar secara digital, tegas beliau.

“Selain itu, kerja-kerja pelaporan dan pengkeranian guru agar guru fokus kepada kemenjadian murid dan sebaliknya pihak KPM membangunkan aplikasi yang mudah dan mesra pengguna untuk tujuan pelaporan PdPR,” katanya.

Beliau menegaskan, pendidikan dalam naratif baharu ini adalah usaha kelangsungan oleh guru untuk kehidupan yang bermakna. 

“Ia bukan lagi melahirkan manusia robot tetapi membina watak manusia yang dahagakan ilmu demi kelangsungan hidup selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsan.

“… yang berusaha mengembangkan potensi individu secara seimbang untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button