Berita Utama

Kumpulan wartawan kutuk serangan terhadap pejabat media di Gaza

Sukar diterima akal pasukan tentera boleh menyasarkan pejabat pengamal media

KUALA LUMPUR, 4 Syawal 1442H, Ahad – Sekumpulan tokoh wartawan yang menggelarkan diri mereka Group of Eminent Journalists hari ini mengutuk serangan ke atas pejabat organisasi media di Gaza oleh tentera rejim Israel semalam.

Kumpulan itu berkata sukar untuk diterima akal bahawa pada zaman sekarang pasukan tentera boleh menyasarkan pejabat pengamal media.

“Serangan udara Israel itu memusnahkan Al-Jalas Tower yang menempatkan pejabat beberapa organisasi media termasuk Associated Press dan Al Jazeera.

“Semua tindakan ini dirancang, bermula dengan pengusiran sejumlah keluarga Palestin daripada kejiranan Sheikh Jarrah, serangan pelampau sayap kanan ke atas rakyat Palestin, serangan terhadap jemaah di Masjid al-Aqsa dan serangan ke atas beberapa sasaran di Palestin,” kata kumpulan itu dalam kenyataan bersama di sini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Hussamuddin Yaacub, Datuk A. Kadir Jasin, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Dr Chamil Wariya, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Datuk Ahiruddin Atan.

Mereka turut menggesa pengamal media Israel memainkan peranan sebagai hati nurani negara dan mereka perlu bersuara tentang hak rakyat Palestin untuk hidup bersama.

Kumpulan itu berkata mereka terkejut dengan hakikat sesetengah segmen media Barat merujuk rakyat Palestin sebagai militan, radikal dan pengganas, istilah yang digunakan sewenang-wenangnya bagi mewajarkan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel.

“Apa yang berlaku ialah bukan tentang apa yang dikatakan sebagai hak Israel untuk hidup. Kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin sejak tujuh dekad lalu melampaui batasan hak asasi dan maruah manusia,” kata kumpulan itu.

Pada masa sama, kumpulan itu turut menuntut kezaliman yang dilakukan tentera Israel dihentikan serta-merta dan harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh negara dan masyarakat sivil di seluruh dunia.

“Kami percaya kerajaan Israel sedang mengumpul tentera untuk melakukan serangan mengejut ke atas Gaza. Tindakan ini akan memburukkan lagi keadaan. Ketegangan yang meningkat semasa penularan pandemik COVID-19 ini sama sekali tidak perlu,” kata mereka.

Kumpulan itu turut meluahkan rasa sedih kerana Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu masih belum mengeluarkan sebarang resolusi bagi menangani isu tersebut dan mereka juga terkejut dengan tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang menyekat perhimpunan berkenaan daripada membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

Sehubungan itu, kumpulan tersebut meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengeluarkan kenyataan yang keras berhubung isu berkenaan, yang mana sedang ditunggu oleh dunia Islam.

“Suasana bisu ini, khususnya dalam kalangan anggota paling berkuasa OIC, amatlah dirasai,” kata mereka.

Dilaporkan serangan mengejut rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin pada kali ini bermula dengan pencerobohan ke atas Masjid al-Aqsa pada 7 Mei dan serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lepas.

Menurut laporan media, lebih 100 rakyat Palestin terbunuh dan beratus lagi cedera setakat ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button