Berita Utama

Malaysia perlu bertegas isu ‘Two-State Solution’

Israel tak pernah sokong isu, sebaliknya mahu hapuskan Palestin

BANGI, 4 Syawal 1442H, Ahad – Malaysia perlu bertegas mengenai pendirian berkaitan ‘Two-State Solution’, susulan kenyataan  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyokong isu itu.

Pengerusi Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menegaskan, rejim penjajah Israel tidak pernah bersetuju dengan ‘Two-State Solution’, sebaliknya mereka hanya mahu menghapuskan Palestin.

Seterusnya, katanya, negara haram Israel mahu membina The Greater Israel bermula dari Sungai Nil di Mesir sehingga ke Sungai Furat di Iraq. 

Katanya, Israel juga mahu menggantikan Masjid Al-Aqsa dengan The Solomon Temple yang menjadi tempat ibadah mereka. 

“Sekarang enam buah negara Arab sendiri Mesir, Jordan, UAE (Emiriah Arab Bersatu), Bahrain, Sudan dan Morocco telah pun mengiktiraf Israel.

“Target mereka selepas ini adalah Arab Saudi, Pakistan, Indonesia, Malaysia, dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas mengenai isu Palestin semalam berkata, Malaysia menyokong penyelesaian adil dan saksama melalui penyelesaian dua negara atau two state solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

Beliau berkata, negara akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak berkaitan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button