Berita Utama

Penyelesaian dua negara satu kegagalan yang jelas: PPMM

Segala usaha penyelesaian perlu beri hak penuh kepada rakyat Palestin untuk bebaskan negaranya

BANGI, 4 Syawal 1442H, Ahad – Hala tuju negara Palestin perlu kepada suatu kemerdekaan penuh tanpa berkompromi kepada rejim Zionis Israel. 

Maka dengan itu, penyelesaian dua negara (two state solution) sama sekali gagal dan tidak perlu dipertegaskan lagi, demikian kata Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki.

“Penyelesaian dua negara (two state solution) berdasarkan garis sempadan pra 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin telah gagal menyelesaikan kemelut ketika ini kerana Zionis Israel tidak pernah mengiktirafnya. 

“Selain itu, Resolusi 242 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1967 serta beberapa siri-siri perjanjian antarabangsa juga telah dicabuli oleh Israel yang dilakukan melalui pelbagai usaha diplomatik di peringkat antarabangsa. 

“Usaha penyelesaian dua negara ini juga jelas tidak diterima baik oleh rakyat Palestin yang mahukan segala pencerobohan haram oleh pendatang-pendatang haram dihentikan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, PPMM menyeru segala usaha penyelesaian yang dilakukan perlulah memberi hak penuh dan bermanfaat kepada rakyat Palestin di dalam membebaskan negara itu daripada terus dijajah oleh rejim Zionis.

Hisham berkata, pihaknya juga berpendapat bahawa status Baitulmaqdis sebagai tanah wakaf umat Islam tidak wajar dikompromi dengan penaklukan haram oleh rejim Zionis dan dengan tindakan terbaru yang menukar status kepada ibu negara haram Israel.

Dalam pada itu, beliau berkata, PPMM menyokong penuh usaha-usaha dimainkan oleh kerajaan Malaysia di dalam memastikan hak dan perjuangan rakyat Palestin, tanpa merujuk kepada penyelesaian dua negara lagi.

Malaysia juga diharapkan dapat menghantar tentera pengaman dan bantuan untuk Palestin, tegasnya.

“Kami saf pimpinan dan ahli-ahli PPMM berdoa agar kekejaman di Palestin ini dapat diakhiri segera dan Islam kembali memerintah Palestin dengan adil dan ihsan. 

“Apabila Islam memerintah, hak beragama orang Islam, Yahudi dan Kristian di Baitulmaqdis akan sentiasa dipelihara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button