Berita UtamaDunia

Pesawat perang Zionis musnahkan bangunan media di Gaza

Al Jazeera kutuk serangan Israel, berjanji akan terus membuat liputan

GAZA, 4 Syawal 1442H, Ahad – Pesawat perang rejim pengganas Israel bertindak memusnahkan bangunan pejabat agensi media antarabangsa di Gaza termasuk Al Jazeera dan Associated Press (AP).

Dalam kejadian yang berlaku semalam, Menara al-Jalaa yang mempunyai 13 tingkat menempatkan 60 unit pejabat termasuk pejabat media, firma undang-undang dan kesihatan.

Seorang wartawan Agensi Anadolu yang juga saksi kejadian berkata, beberapa peluru berpandu rejim pengganas Israel telah menghentam dan menghancurkan sepenuhnya bangunan berkenaan.

“Kami terkejut dan ketakutan kerana tentera Israel akan menyasarkan dan menghancurkan bangunan yang menempatkan biro AP dan organisasi berita lain di Gaza,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden AP, Gary Pruitt dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Al Jazeera mengutuk serangan itu dan meminta masyarakat antarabangsa untuk melindungi para wartawan.

“Tindakan biadab Israel yang menyasarkan wartawan bagi menghalang mereka mendedahkan kebenaran,” katanya.

Al Jazeera berkata, pihaknya berjanji akan terus membuat liputan dan mengungkap kebenaran mengenai segala kejadian yang berlaku di Gaza, wilayah Palestin dan Israel meskipun usahanya ditindas.

Negara haram Israel telah melakukan serangan di Semenanjung Gaza dalam serangan udara sejak 10 Mei lalu, yang membunuh sekurang-kurangnya 139 orang termasuk 39 kanak-kanak, 22 wanita manakala 950 orang lagi cedera.

Kira-kira empat bangunan bertingkat juga musnah dalam serangan udara di wilayah Palestin yang diduduki. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button