Berita UtamaDunia

Taiwan minta rakyat jangan gopoh lakukan pembelian panik

Sekatan pergerakan, perhimpunan baharu dilaksanakan untuk kekang penularan COVID-19

TAIPEI, 4 Syawal 1442H, Ahad – Pihak berkuasa di Taiwan meminta orang ramai agar tidak membeli barangan seperti mi segera dan tisu tandas secara panik susulan pengumuman sekatan pergerakan serta perhimpunan baharu yang dikenakan untuk mengendalikan penyebaran COVID-19.

Taiwan menaikkan tahap amaran coronavirus di ibu kota Taipei dan sekitarnya pada hari Sabtu, mengenakan sekatan selama dua minggu yang akan menutup banyak tempat dan mengehadkan perhimpunan.

Walaupun jumlah jangkitan sejak awal pandemik masih rendah iaitu pada 1,475, lonjakan penularan di kalangan komuniti baru-baru ini telah mengejutkan populasi yang sudah terbiasa dengan kehidupan yang hampir normal, tanpa adanya penutupan penuh seperti yang dilihat di tempat lain.

Dalam pengumuman lewat Sabtu, pemerintah mengatakan bahawa rakyat tidak perlu bergegas ke kedai-kedai, untuk membeli barang-barang asas, terutama mi segera dan tisu tandas.

“Setelah lebih dari satu tahun persiapan, bahan antipandemik, bahan kering dan bahan basah sudah cukup, dan kedai-kedai juga beroperasi seperti biasa untuk mengisi barang,” kata Presiden, Tsai Ing-wen.

Rangkaian pasar raya Perancis, Carrefour mengatakan bahawa ia mengehadkan pembelian barangan seperti pelitup muka dan mi segera di cawangan Taiwannya, meminta orang membeli sekadar apa yang mereka perlukan sahaja.

Walaupun tidak memerintahkan penutupan secara penuh, pemerintah mendesak orang ramai untuk tinggal di rumah selama mungkin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button