Berita Utama

Filem Mat Kilau tonjol jati diri kaum Melayu Islam yang membanggakan

Etugrul tunjukkan 'story telling' sejarah fiksyen tak perlu ikut acuan Barat

BANGI, 7 Zulhijjah 1443H, Khamis – Filem yang mendapat sambutan luar biasa – Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan – semakin laris selepas mengutip lebih RM50 juta.

Justeru, tidak mustahil filem epik Melayu yang mencetuskan fenomena itu menyaingi kutipan paling tinggi di pawagam Malaysia iaitu filem Avengers: Endgame yang ditayangkan pada 2019 memandangkan panggung wayang ketika ini dilihat masih lagi penuh.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias berkata, filem Mat Kilau menunjukkan kewujudan satu ‘underserve market’ yang menantikan-nantikan genre tokoh pahlawan berkenaan.

“Market ini rupanya besar dan memang lumayan bagi produksi filem. Susah saya nak jelaskan dengan tepat genre ini.

“Mungkin boleh diklasifikasikan sebagai satu filem untuk keluarga yang penuh aksi, bersifat sejarah campur fiksyen dan menonjolkan jati diri dan keterampilan kaum Melayu Islam yang boleh dibanggakan. Ada ‘feel good factor’,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

Lantaran itu, beliau berpendapat sepatutnya lebih banyak filem genre seperti ini dihasilkan.

“Kalau kita boleh bangun filem-filem sebegini dengan baik, tidak mustahil satu hari nanti kita boleh hasilkan ‘blockbuster’ dunia seperti siri Etugrul yang berada dalam genre yang sama. Kita pula yang eksport budaya kita ke dunia.

“Etugrul menunjukkan kita bagaimana ‘story telling’ sejarah fiksyen tidak perlu sangat ikut acuan Barat. Tidak perlu adegan ranjang untuk laku. Tidak perlu watak hero orang Barat. Kita cuma paparkan budaya kita sendiri dengan lebih menarik.

“Malah Etugrul menunjukkan kita boleh masukkan elemen dakwah agama dalam filem dan masih menjadikannya menarik untuk orang ramai. Paparan pengalaman hidup ulama dalam Etugrul sungguh ‘refreshing’ dari filem-filem Hollywood,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button