Berita Utama

ATM pastikan ancaman rangkaian komunikasi pertahanan ditangani

BSEP dan CDOC lindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara

KUALA LUMPUR, 5 Syawal 1442H, Isnin – Aspek keselamatan dan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dipantau setiap masa dalam memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan ATM dapat ditangani, kata Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata tindakan serta langkah-langkah sewajarnya yang perlu dilaksanakan oleh pentadbir sistem siber sebagai langkah menangani apa juga kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir-anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber ATM serta Kementerian Pertahanan.

“Adalah ditegaskan bahawa ATM sentiasa memantau dan mempertingkat aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan yang digerakkan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (CDOC).

“BSEP dan CDOC bukan sahaja memperkukuh rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata arahan dan langkah yang dikeluarkan CDOC yang tular menerusi media sosial sebelum ini merupakan arahan amalan biasa untuk peringatan.

Semalam, tular menerusi media sosial mengenai satu arahan dalaman ATM menyatakan ATM perlu meningkatkan pertahanan siber negara ekoran ancaman siber dari Israel. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button