Berita Utama

Cuba bunuh sejarah Palestin, MJTS kutuk pengeboman pejabat media di Gaza

Kalahkan Israel dengan naratif jika bukan dengan senjata api

BANGI, 5 Syawal 1442H, Isnin – Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS) mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman yang memusnahkan bangunan ibu pejabat memuatkan pejabat media Al-Jazeera dan Associated Press (AP) di Menara Al-Jalaa, Gaza, baru-baru ini.

Presiden MJTS, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, tindakan itu bukan sahaja menafikan liputan berita dan komentar mengenai penindasan serta penjajahan Israel ke atas warga Palestin, malah turut menyekat penyaluran maklumat berkaitan isu sama.

“Tindakan pengeboman itu sebenarnya adalah serangan terhadap institusi dan profesion kewartawanan terhadap peranan dan tanggungjawab wartawanan dan media sebagai tukang cerita dan tukang catat peristiwa dalam masyarakat dan tamadun.

“Ia juga menandakan pembunuhan maklumat dan sejarah Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, negara pengganas Israel memusnahkan pejabat media antarabangsa di Gaza termasuk milik Al Jazeera dan AP pada Sabtu, selepas memberi amaran sejam sebelum itu.

Pada masa sama, Prof Ahmad Murad berkata, sekiranya negara ini tidak dapat mengalahkan Israel dengan senjata, maka mereka perlu dikalahkan melalui naratif.

Beliau berkata, kuasa naratif boleh mentafsir dan melurus semula sejarah, di mana bukan sahaja media yang memainkan peranan, sebaliknya ianya adalah tanggungjawab semua pertubuhan media.

Malah, katanya, sekolah-sekolah kewartawanan juga berperanan dalam membentuk konsep, pendekatan dan mengajar selain menyedarkan pelajar mereka mengenai penggunaan bahasa, makna, konteks serta ungkapan yang betul.

Tambahnya, sekolah kewartawanan juga perlu sensitif akan penggunaan bahasa dan maksud yang disampaikan oleh bahasa penjajahan atau imperialisme.

“Sekolah kewartawanan memainkan peranan kritikal dalam merubah naratif penjajahan Palestin dengan menyah-jajah (de-colonise) bahasa yang digunakan. Malah penubuhan sekolah-sekolah kewartawanan awal di Malaysia pada awal tahun 1970an berlatarbelakangkan beberapa peristiwa termasuk Perang Dingin dan pertempuran Arab-Israel 1967 di Sinai dan Golan, serta Perang Yom Kippur Oktober 1973 yang melibatkan Israel menentang gabungan negara Arab yang dipimpin oleh Mesir dan Syria.

“Keadaan tersebut telah mempengaruhi korpus pengajian kewartawanan seperti yang diajar di Malaysia. Dan ini adalah satu gejala yang mesti dinyahkan dari pendekatan silibus kewartawanan di Malaysia.

“Naratif melalui liputan peristiwa itu mencorak kefahaman dunia. Dan menanamkan ideologi objektiviti dan seimbang dalam liputan berita. Ini mesti disemak semula dalam pengajian di sekolah-sekolah kewartawanan, terutama sekali untuk kursus Liputan Berita dan Kewartawanan Antarabangsa,” jelasnya.

Prof Ahmad Murad berkata, pihaknya turut menggesa semua naratif mengenai Palestin yang diterbitkan oleh media Malaysia mesti merujuk secara eksplisit atau implisit kepada trauma Hari Nakba pada tahun 1948.

Hari Nakba adalah peristiwa di mana warga Palestin dihalau dari tanah air mereka dan sehingga kini, rakyat Palestin dijajah, ditindas dan diperlakukan sebagai binatang selama 73 tahun di bumi sendiri.

“Inilah ibu kepada segala ekstremisme moden yang diamalkan oleh Israel.

“Wartawan mesti ingat bahawa kepada Israel, orang-orang Palestin tidak wujud dan tidak pernah wujud. Naratif yang mereka utarakan dan yang sedang dikawal oleh mereka ialah sebelum bangsa Yahudi datang dan bermastautin di bumi Palestin, tidak ada orang yang tinggal di sana. Mereka menggunakan doktrin terra nullius (tanah yang tidak ada penghuni).

“MJTS juga mengambil berat sikap dan pendirian siaran berita dalam bahasa Mandarin yang tidak selari dengan jalur pemikiran tersebut; serta akan menegur mana-mana media yang menyimpang dari segi naratif,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button